Monday 12 December 2011

✿ Memberi

Tulisan : Pahrol Mohd. Juoi

“Mana lebih gembira, memberi hadiah atau menerima hadiah?” Tanya saya kepada peserta. Hampir seluruh mengaku menerima hadiah lebih mengembirakan.

“Saya akan bercerita, dengarkan. Apabila saya habis bercerita saya pasti jawapan anda akan berubah. Insya-Allah!”

Saya menceritakan tentang seorang anak kecil berkali-kali berpesan kepada ibunya, agar pulang membawa hadiah yang diingini, iaitu sebuah anak patung yang besar.

“Katalah, anda seorang ibu atau bapa anak kecil itu. Anda telah meninggalkan anak itu dua hari. Lusanya anda kembali ke rumah. Namun sebelum anda pulang, anda bertekad akan membawakannya anak patung yang anak anda ingini itu. Setelah puas mencari, akhirnya anda menemuinya. Anda membeli dan terus membawanya pulang ke rumah. Bayangkan anak anda telah menunggu di hadapan pintu, sambil sorak gembira melihat anak patung di tangan anda. Baiklah, kini para ibu dan bapa, tolong jawab, siapa agaknya lebih gembira, ibu yang memberi hadiah atau si anak yang menerima hadiah?

Kali ini jawapannya berubah. Semua akur yang hati si ibu atau si bapa yang lebih gembira berbanding si anak.

Mengapa? Mengapa si ibu yang gembira sedangkan dia yang MEMBERI?

Jawapannya kerana si ibu MEMBERI DENGAN KASIH SAYANG. Jadi, pengajarannya ialah untuk rasa gembira apabila memberi, MEMBERILAH DENGAN RASA KASIH SAYANG.”

Sayangnya, sering kita tidak gembira ketika memberi. Mengapa?

"Memberi itu mengurangkan,” jawab seorang peserta.

“Orang yang menerima tak pandai berterima kasih,” tambah yang lain.

“Tak ada apa yang nak diberi!” sampuk yang lain.

“Tak adil, kita susah-susah mencari, dia pula senang-senang dapat”. Laung peserta yang lain.

“Memberi tidak akan mengurangkan. Bahkan hukama berkata, HARTA YANG MENJADI MILIK KITA YANG HAKIKI IALAH HARTA YANG DIBERIKAN KE JALAN ALLAH. Yang lain, KITA HANYA TUKANG SIMPAN, BILA MATI HARTA KITA AKAN TINGGALKAN, DIWARISKAN”.

“Pernah kita lihat anak-anak pokok sayur di batas? Untuk tumbuh menjadi sayur yang subur, mesti sebahagiannya dicabut, dibuang, untuk memberi ruang pada sebahagian yang lain tumbuh subur. Jika semua dibiarkan tumbuh, pertumbuhan semuanya akan terbantut. Begitulah juga dengan rezeki, perlu diberikan dalam bentuk zakat dan hibah, akan subur dan bersih!” tambah saya lagi.

“Dan jangan sesekali sempitkan pengertian rezeki, nanti rezeki sempit. Jika kita hadkan rezeki pada hanya harta, bila kita tidak ada harta maka tidaklah kita berpeluang untuk hendak memberi. MEMBERI BUKAN HANYA PADA DENGAN HARTA, tapi DENGAN TENAGA, PERTOLONGAN, SENYUMAN, DOA, ILMU, SANGKA BAIK, KEMAAFAN. Siapa kata kita TIDAK ADA untuk memberi?

“Mata, tangan, kaki, tenaga, kesihatan yang kita gunakan untuk mencari, hakikatnya daripada Allah. Sebenarnya, tanpa disedari kita adalah saluran Allah untuk memberi rezeki kepada hamba-hambaNya yang lain. Bersalah sungguh jika kita tidak memberi kerana kita seolah-olah menyekat rezeki yang Allah hendak berikan kepada orang lain.”

“Memberi kerana Allah minta kita memberi. Kita memberi kerana-Nya bukan harapkan balasan manusia. Jika kita MEMBERI KERANA MANUSIA, kita akan SAKIT JIWA”.

“Kenapa?”

“Kajian menunjukkan MAJORITI MANUSIA TIDAK PANDAI BERTERIMA KASIH. Jika kita MENGHARAPKAN TERIMA KASIH, kita pasti akan kecewa.”

“Tetapi adilkah setelah kita memberi kita dilupakan”.

“Baiklah, cuba fikirkan, adilkah setelah sekian lama kita dapati banyak nikmat yang diberikan Allah, majoritinya manusia tidak bersyukur kepada-Nya? Allah sendiri menegaskan bahawa SEDIKIT SEKALI HAMBANYA YANG BERSYUKUR.”

“Dunia memang tidak adil”.

“Tidak, manusia yang tidak adil. Manusia zalim. Kalau kita yang kerdil ini tergamak tidak memberi hanya kerana orang lain tidak pandai berterima kasih. Tetapi cuba bayangkan Allah, Yang Maha Besar, Maha Pemurah, yang sentiasa sudi memberi walaupun hamba-Nya tidak bersyukur. Siapa kita?”

“Memberilah kerana siapa yang tidak memberi ertinya tidak memberi kepada dirinya sendiri! “

No comments:

Post a Comment