Wednesday 21 December 2011

✿ Sepi Menghantarku Kembali pada-Mu



Ada masanya kita merasa sendirian dalam ramai. Kita merasa gelisah walaupun ketika tiada masalah. Kita terasa sunyi walaupun teman-teman dan keluarga ada di sisi. Kadangkala kita inginkan sesuatu yang kita sendiri pun tidak tahu apa bendanya. Ketika segalanya sudah dimiliki dan sudah lebih dari cukup, kita masih lagi ...belum merasa puas. Dalam kegembiraan,jauh di sudut hati, masih merasa kekosongan. Pernahkah begitu?

Kata seorang syeikh…

Itulah tandanya manusia memerlukan Tuhan. Itulah buktinya jiwa ini sedang merindukan Rabbnya. Jikalau dicurahkan seluruh nikmat dunia ini kepadanya, belum juga akan dapat diubati kekosongan jiwa itu. Ibnu Qayyim al-Jauzi... telah menuliskan:

“Sesungguhnya di dalam hati terdapat sebuah keterasingan yang tak mampu diubati kecuali dengan menyendiri bersama Allah azza wajalla.

Di dalam hati juga ada sebuah kesedihan yang tak akan mampu diseka kecuali oleh kebahagiaan yang tumbuh kerana mengenal Allah beserta ketulusan hubungan denganNya.

Pun di dalam hati ada sebuah kegelisahan yang takkan mampu ditenangkan kecuali dengan berhimpun kerana Allah dan pergi meninggalkan kegelisahan itu menuju Allah.

Di dalam hati juga ada suatu tuntutan kuat yang tidak akan terhenti sehinggalah Allah menjadi satu-satunya matlamat dan cita-cita.

Di dalam hati juga ada suatu keperluan yang takkan pernah terpenuhi kecuali dengan cinta-Nya, mengingati-Nya, beserta keikhlasan yang tulen terhadap-Nya.

Bahkan jika hati ini DIBERI DUNIA SELURUHNYA BESERTA SEGALA ISINYA, keperluan itu tetap tidak terpenuhi selagi tidak mengharap penuh kepada Allah azza wajalla..”

alangkah benar….

Tetapi kita selalu lambat.

Selalu ingin mencuba penawar yang lain terlebih dahulu untuk mengubati kegelisahan itu.

Selalu ingin mencari jawapan di tempat lain.

Selalu mengharapkan ketenangan dari cara yang lain.

Jikalau gembira, akan diceritakan kepada manusia dahulu.

Jikalau ada masalah yang datang, juga akan diluahkan kepada manusia dahulu.

Jika tidak tahu, akan bertanya kepada manusia dahulu.

Alangkah jauhnya pencarian tempat mengadu.

Sedangkan hakikatnya kegembiraan mahupun kegelisahan itu adalah satu panggilan.

Kepada hati yang mungkin sudah lama menyimpang..

Maka kembalilah kepada Allah..

Dia yang melakar suhuf perjalanan qadar kita.

Dia Yang Maha Pengasih lagi Maha Bijaksana.

“Allahumma, Engkaulah Tuhanku. Tiada Tuhan melainkanMu. Engkau yang menciptakanku dan aku hambaMu. Dan aku ini dalam perjanjian denganMu, dalam ikrar kepadaMu, (yang akan ku penuhi dengan) seberapa dayaku. Dan aku berlindung kepadaMu, dari segala kejahatan yang telah kulakukan. Dan aku mengakui nikmatMu kepadaku. Dan aku mengakui dosaku. Maka ampunilah diriku, kerana tiada yang dapat mengampuni dosa-dosa melainkanMu.”
(bacaan Al-Mathurat, himpunan doa Rasulullah saw)

No comments:

Post a Comment