Wednesday 21 December 2011

✿ Tarbiyah Nafs Untuk Sebarang Kemungkinan

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak Yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik, serta melarang daripada Segala Yang salah (buruk dan keji). dan mereka Yang bersifat demikian ialah orang-orang Yang Berjaya”.
(Surah Ali-Imran :104)
Ketika saya mencari kekuatan untuk yakin dan thabat di dalam perjuangan ini telah mengajar erti pengorbanan yang amat berharga. Di dalam organisasi sebuah harakah Islamiyah memerlukan kekuatan fizikal dan mental yang akan menguatkan jemaah tersebut. Namun di sana diri ini masih mentah dalam melaksanakan amanah yang terpundak di bahu seolah-olah bebanan berat yang sedang dipikul. Bagaimana mahu menjadi pejuang, mujahidah dan mujaddidah Islam jika masih banyak mengeluh dan beralasan?

Kisah seorang serikandi harakah Islamiyah IM di mesir telah menarik minat saya untuk berkongsi kisah tersebut dengan sahabat sekalian. Kisah yang telah diceritakan oleh seorang murabbi yang saya hormati sehingga menaikkan semula semangat yang kian menurun ini. Biasalah hal keadaan perasaan dan semangat ini kadang-kadang bermusim ada masanya musim luruh dan ada masanya musim hujan. Kisah tersebut menceritakan mengenai isteri seorang pendokong IM di Mesir iaitu sheikh hasan turabi. Isterinya yang bernama Ummu Usamah merupakan seorang serikandi yang sangat tabah dan berani.

Oleh kerana suaminya merupakan pejuang IM di Mesir beliau telah ditangkap dan dipenjara oleh pihak kerajaan yang zalim ketika itu. Mereka mempunyai beberapa orang anak lelaki dan 3 orang anak perempuan. Ketika suaminya di penjara isteri salah seorang menteri kerajaan telah datang menziarahi Ummu Usamah dan anak-anaknya. Isteri menteri tersebut telah membincangkan beberapa perkara dan memberi jaminan bahawa tidak akan menyiksa suami dan bapa mereka bagi menghilangkan kerunsingan mereka sekeluarga setelah penangkapan suaminya.

Lalu dijawab oleh Ummu Usamah;

“ Kami tidak merasa runsing sedikit pun. Kerana kami telah ditarbiah untuk bersedia dengan menghadapi sebarang kemungkinan apabila menjadi pejuang agama Allah.”

Isteri menteri tersebut cuba untuk melihat reaksi 3 anak perempuan Ummu Usamah daripada jawapan yang telah diberikan oleh ibu mereka. Ketiga-tiga anak perempuannya sepakat menyatakan bahawa;

“Kami tidak ada pendirian lain kecuali sepertimana pendirian ibu kami.”

Jawapan yang diberikan oleh mereka amat mengejutkan isteri menteri tersebut. Sudah pasti kita yang mempunyai nilai keimanan yang mendalam juga akan merasa kagum dan cemburu untuk mencapai tahap keyakinan kepada Allah seperti mereka. Kerana apabila kita berjuang Islam boleh jadi isteri, suami, anak-anak dan diri kita akan diancam dan dibunuh oleh musuh Islam.

Kisah seterusnya apabila raja Sau’di mengetahui mengenai musibah yang menimpa keluarga Ummu Usamah beliau telah mengutuskan surat kepada Ummu Usamah mencadangkan untuk memohon bagi melepaskan suami beliau yang dipenjarakan itu. Surat dibalas oleh Ummu Usamah yang lebih kurang begini;

“ saya meyakini oleh kerana suami saya di tempat yang benar sudah tentu Allah akan menolongnya. Sekiranya suami saya dilepaskan maka dia akan hidup di pihak yang benar dan sekiranya mati kerana disiksa, matinya sebagai syuhada’.”

Dia telah menolak cadangan daripada raja Sau’di oleh kerana keyakinan kepada perjuangan suami beliau dan kekuatan spiritual yang tinggi kepada Allah.

Perjuangan Islam memerlukan persediaan yang secukupnya bagi memastikan kesinambungan perjuangan Rasululllah itu dapat dilaksanakan. Muslimah perlu bersedia mendidik diri, keluarga dan anak-anak seterusnya membentuk generasi Rabbani. Ibu yang mendidik anak-anak perlu mempunyai satu kefahaman untuk bersedia dengan sebarang kemungkinan. Baharulah terjadi seperti perihal keluarga Ummu Usamah tadi. Menjadi mujahidah adalah dengan menjadi isteri, ibu, dan muharikah bagi penggerak masyarakat di atas landasan yang haq. Bersedialah untuk menghadapi sebarang kemungkinan!

No comments:

Post a Comment