Wednesday 28 December 2011

✿ Jangan Celupar Mulut Terhadap Anak

Do'a ibu bapa kepada anak-anak adalah mustajab dan cepat diterima oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Oleh kerana itu, janganlah diucapkan kata-kata yang jahat-jahat dan tidak baik kepada anak-anak yang nakal atau cerdas, kerana tersebut di dalam sebuah hadis yang bermaksud:

"Ada tiga do'a yang diterima oleh Allah Ta'ala iaitu do'a orang yang kena zalim atau kena aniaya ke atas orang yang menzaliminya, do'a orang yang sedang belayar dan do'a ibu bapa ke atas anaknya."
                                                           (Hadis riwayat Tirmizi, Abu Daud dan Ibnu Majah)

Kanak-kanak yang nakal atau cerdas menunjukkan ia cerdik dan pandai. Mereka akan sentiasa bergerak, dan ada sahaja perkara yang hendak dibuatnya. Mereka tidak ingin duduk diam. Kelakuan ini adalah sifat semula jadi kanak-kanak. Karenah seperti ini kadang-kadang menimbulkan rasa tidak menyenangkan kepada setengah ibu bapa. Bagi ibu bapa yang kurang kesabaran, mereka akan mengeluarkan kata-kata yang tidak baik seperti menyumpah seranah dan lain-lain perkataan yang boleh membawa akibat yang tidak baik ke atas anak mereka. 

Dari itu, ibu bapa hendaklah melayani anak-anak mereka dengan penuh sabar dan sifat kasih sayang, sebab di tangan ibu bapalah yang akan mencorakkan warna-warni kehidupan anak-anak mereka. Setiap ibu bapa tentulah berharap anak-anak mereka akan menjadi orang yang berguna kepada keluarga, bangsa, agama dan negara pada masa yang akan datang. Bahagia anak-anak ada di tangan ibu bapa, demikian juga sebaliknya. Sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam maksudnya: 

"Daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anhu katanya: Sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam: 

"Tidak ada seorang kanak-kanak yang dilahirkan melainkan dalam keadaan suci (fitrah), maka kedua ibu bapanya yang bertanggungjawab menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi."    
                                                                        (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) 


Allah Subhanahu Wata'ala memerintahkan ibu bapa supaya menjaga anak-anak mereka daripada terjerumus ke jurang api neraka. Dalam hubungan ini, tanggungjawab ibu bapa ialah mendidik, mengajar dan membimbing mereka dengan tunjuk ajar, nasihat, adab sopan, pelajaran agama, mengerjakan ibadat sembahyang dan lain-lain ibadat wajib, cara berpakaian dan sebagainya dari sejak mereka kecil lagi. Firman Allah :


Tafsirnya:

"Hai mereka yang beriman, ambil perlindungan diri kamu dan ahli-ahli kamu, isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu daripada api neraka dengan berbuat taat kepada Allah dan beramal dengan hukum-hakam Allah."
(Surat at-Tahrim:6)

 Diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dengan isnad yang sahih daripada sahabat Jabir Radhiallahu Anhu telah berkata : "Telah bersabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam maksudnya: 

 "Jangan kamu do'akan (menyumpah seranah) di atas diri kamu, jangan kamu menyeranah di atas anak-anak kamu, jangan kamu menyeranah di atas pakaian kamu, jangan kamu menyeranah di atas pekerjaan kamu, jangan kamu menyeranah di atas harta-harta kamu, jangan kamu berjumpa suatu saat yang diterima do'a kamu dengan seranah kamu itu, maka Allah akan menerimanya daripada kamu, yakni ada saat-saat dan waktu yang sangat dilulus permintaan dan do'a seseorang itu. Oleh takutilah kamu akan saat yang baik jadi tempat diterima do'a jahat dan seranah kamu itu."                                     
(Hadis ini tersebut dalam Sahih Muslim)


Di dalam hadis-hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah dan Ibnu Sunni, daripada sahabat Huzaifah Radhiallahu Anhuma telah berkata: "Saya mengadu kepada Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam akan jahat mulut saya," sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam yang bermaksud: 

"Di mana kamu daripada mengucap istighfar, 

 

 yakni jangan jauh daripada istighfar, bahawa demi saya (Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam yang mengucapkan  yakni mohon ampun daripada Azzawajalla tiap-tiap hari 100 kali." 

Menurut hadis di atas, sebagaimana pendapat Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz, ibu bapa yang celupar mulut itu sunat baginya mengucap istighfar



pada setiap masa supaya hilang celupar mulut dan menyeranah itu daripada mulutnya. 


Di dalam kitab Sunan Abu Daud dan Ibnu Majah daripada sahabat Ibnu Abbas Radhiallahu 'Anhu telah berkata: 'Telah bersabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam yang bermaksud:

 "Barangsiapa selalu mengucap Istighfar  
   
   

nescaya Allah lepaskan dia daripada segala kesusahan dan daripada segala masalah dan daripada segala perkara berbangkit yang menyusahkan, dan Allah Ta'ala lepaskan dia daripada segala sedih dan bimbang dan Allah Ta'ala murahkan rezekinya dan diberi rezeki daripada pihak yang tidak disangka." 


 
  
Oleh yang demikian, khusus kepada ibu bapa atau siapa saja yang celupar mulutnya hendaklah memperbanyak ucapan istighfar setiap hari supaya terhindar daripada ucapan-ucapan yang tidak baik kepada anak atau orang lain .

 


sumber : http://www.facebook.com/notes/mtd-kota-lama/jangan-celupar-mulut-terhadap-anak/435273075937


No comments:

Post a Comment