Friday 23 December 2011

✿ Membina Rumah Tangga Muslim (Baitul Muslim) Adalah Satu Kewajipan

Sahabat yang dirahmati Allah,

Apabila kita memperkatakan rumah tangga Muslim (Baitul Muslim) sebenarnya kita tidak boleh dipisahkan dengan ajaran Islam itu sendiri. Salah satu aspek penting dalam persiapan untuk melalui hidup secara Islam adalah menyediakan rumah tangga kita supaya menjadi Rumah tangga Muslim. Rumah tangga yang mempunyai ciri-ciri keislaman yang sebenar sahaja boleh menyediakan persekitaran yang harmoni dan tarbawi (bercirikan tarbiah Islam), melahirkan kasih sayang, hormat menghormati serta pelaksanaan ibadah yang membawa kepada ketenangan dan ketenteraman.

Rumah tangga Muslim harus didirkan dalam rangka beribadah kepada Allah s.w.t. semata-mata maksudnya ia bermula daripada proses pemilihan jodoh pertemuan, merisik, pertunangan, menjalin kesepakatan hingga pelaksanaan perkahwinan ianya tidak terlepas dari prinsip ibadah.

Berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah, terdapat beberapa tujuan penting pembentukan rumah tangga Muslim ini, iaitu:

1. mendirikan syari'at Allah dalam segala urusan rumah tangga.

2. mewujudkan ketenteraman dan ketenangan jiwa dan roh

Firman Allah s.w.t. maksudnya : "Dialah Yang Menciptakan kamu dari diri yang satu dan daripadanya Dia menciptakan isterinya, agar dia merasa senang kepadanya"(Surah al- A'raaf ayat 189)

Ketundukan sejak langkah awal mendirikan rumah tangga telah menjadi asas untuk tetap patuh dalam langkah-langkah selanjutnya kelak, jika terjadi permasalahan dalam rumah tangga akan dengan mudah menyelesaikannya, kerana semua telah tunduk kepada peraturan Allah dan Rasul-Nya. Ikrar yang dilafaskan adalah menjadikan Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap dan sempurna di dalam rumah tangga yang akan dibina.

Rumah tangga Muslim bukan hanya sekedar berdiri di atas kemusliman seluruh anggota keluarganya. Bukan pula kerana seringnya terdengar lantunan ayat-ayat al-Qur’an dari rumah itu, dan bukan pula sekadar anak-anaknya disekolahkan disekolah agama. Tetapi

rumah tangga Muslim adalah rumah yang didalamnya ditegakkan adab-adab Islam, samaada suami, isteri dan anak-anak maupun keseluruhan anggota rumah tangga tersebut.

Rumah tangga Muslim adalah rumah tangga yang didirikan di atas landasan ibadah dan mencari redha Allah, mereka bertemu dan berkumpul kerana Allah, saling menasihati dalam kebenaran dan kesabaran, serta saling menyuruh kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar, kerana kecintaannya kepada Allah.

Rumah tangga Muslim adalah rumah tangga teladan yang menjadi ikutan masyarakat Islam. Mereka membina rumah tangga ini dan tinggal di dalamnya kerana kesejukan iman dan kekayaan ruhani. Mereka berkhidmat kepada Allah s.w.t samaada dalam suka maupun duka, dalam keadaan senang atau maupun susah.

Suasana rumahtangga yang dibina di atas dasar cinta dan kasih sayang yang suci akan mententeramkan dan memberi ketenangan kepada jiwa dan roh dalam kehidupan pendakwah. Dalam hal ini tiada contoh yang lebih baik dan tepat daripada rumah tangga Rasulullah s.a.w. yang dibina bersama denga Saidatina Khadijah, terutama ketika menghadapi cabaran dan pengalaman baru yang memerlukan sokongan padu serta keyakinan tanpa sebarang keraguan si isteri.

Anak-anak yang dibentuk dalam suasana 'mawaddah' dan 'rahmah'akan menghasilkan peribadi yang bahagia, yakin diri, tenteram, kasih sayang serta jauh daripada kekacauan serta penyakit batin yang melemahkan peribadi.

Rumah tangga Muslim akan mewuiudkan sunnah Rasulullah dengan melahirkan anak-anak soleh sehingga umat manusia merasa bangga dengan kehadiran kita.

Rumah tangga Muslim juga memenuhi keperluan cinta kasih anak-anak. Ketidakseimbangan atau ketandusan cinta kasih ini akan menyebabkan penyimpangan akhlak dan perilaku.

Di dalam perkahwinan dan pembentukan rumah tangga Muslim, Islam tidak menyempitkan tujuan perkahwinan kepada hanya untuk mendapatkan anak-anak soleh (walaupun ini adalah antara tujuan perkahwinan), untuk mengekang padangan dan menjaga kemaluan (walaupun ini juga menjadi matlamat perkahwinan) dan bukan juga bertujuan untuk menyalurkan nafsu secara syar'i sahaja, sebaliknya Islam telah menentukan matlamat yang lebih tinggi, mulia dan jauh jangkauannya. la berkait rapat dengan matlamat kemasyarakatan, jihad serta pelaksanaan amal Islam yang luas.

Walaupun matlamat terpenting dalam perbentukan rumah tangga Muslim ialah untuk menyediakan suasana dan persekitaran yang subur bagi mendidik anak-anak, Islam telah menentukan bahawa tuiuan utama kesinambungan zuriat mempunyai kaitan dengan matlamat dakwah dan jihad. Tujuan ini dapat difahami menerusi beberapa ayat al-Quran.

Antaranya ayat yang menggambarkan do'a Nabi Zakaria yang berhajat kepada anak yang soleh untuk meneruskan kewajipan dakwah yang dipikulnya. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:"Ya Rabbi, kurniakan aku seorang anak yang baik di sisi Engkau. Anugerahkan aku seorang putera, yang akan mewarisi sebahagian keluarga Yaaqub."(Surah Maryam ayat 5-6)

Rumah Tangga Muslim adalah rumah tangga yang didalamnya terdapat iklim yang sakinah (tenang), mawadah (penuh cinta) dan rahmah (penuh kasih sayang). Perasaan itu sentiasa melingkupi suasana rumah setiap harinya. Seluruh anggota keluarga merasakan suasana “syurga” di dalamnya. Sesuai slogan yang selalu dilaungkan, "rumahku syurgaku" dan Nabi s.a.w. juga ada menyatakan bahawa rumah tangga yang bahagia itu sebagai "Baiti Jannati.:

Firman Allah s.w.t maksudnya : “Dan diantara tanda-tanda kekuasan-Nya ialah Dia menciptakan untuk kalian isteri-isteri kalian dari jenis kalian sendiri, supaya kalian cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantara kalian rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berpikir”. (Surah Ar-Rum:21)

Perlaksanaan terhadap nilai-nilai Islam secara menyeluruh harus terjadi dalam diri setiap anggota keluarga sehingga mereka sentiasa istiqamah terhadap adab-adab Islam.

Firman Allah s.w.t maksudnya : “Hai orang-orang yang beriman, masuklah kalian ke dalam Islam secara keseluruhannya dan janganlah kalian mengikuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu”. (Surah Al-Baqarah ayat 120)

Untuk itu Rumah tangga Muslim dituntut untuk menyediakan proses tarbiyah islamiyyah yang berterusan, agar proses belajar, kefahaman Islam dan memahami ilmu sampai akhirnya dapat dilaksanakan dalam kehidupan sehari-hari boleh diwujudkan. Proses ini harus berjalan terus menerus, bertahap dan berkesinambungan. Tanpa hal ini, adab-adab Islam tidak boleh ditegakkan.

Untuk menegakkan Islam secara menyeluruh perlu kepada contoh ikutan (qudwah). Suami perlu memberi contoh kepada isterinya dan kedua ibu bapa perlu menjadi contoh kepada anak-anaknya. Sebelum menyuruh kebaikan atau melarang kemungkaran kepada anggota keluarganya, pertama kali orang tua harus memberikan contoh tauladan yang baik.

Firman Allah s.w.t maksudnya : “Hai orang-orang yang beriman, mengapa kalian mengatakan sesuatu yang tidak kalian perbuat? Amat besar kebencian disisi Allah bahwa kalian mengatakan apa-apa yang tiada kalian kerjakan” (Surah Ash-Shaf ayat 3-4)

Suri tauladan sangat diperlukan, dalam proses berinteraksi dengan anak-anak dengan orang tuanya sangatlah dekat. Anak akan melihat peribadi mulia yang ingin diajarkan kepada diri mereka, pada saat anak-anak masih belum dewasa, proses penerapan nilai-nilai lebih tertekankan pada apa yang mereka lihat dan dengar dalam kehidupan sehari-hari.

Sahabat yang dimuliakan,

Islam telah memberikan hak dan kewajiban bagi masing-masing anggota keluarga secara khusus. Suami isteri dengan tanggung jawabnya sebagai pendidik. Dan anak-anak juga mempunyai tanggungjawab iaitu mendisplinkan diri untuk patuh dengan ajaran dan akhlak Islam.

Firman Allah s.w.t. maksudnya : “Dan janganlah kamu iri hati apa yang dikaruniakan Allah kepada sebagian kamu, lebih banyak dari yang lain. (Kerana) bagi orang laki-laki ada bagian dari apa yang mereka usahakan, dan bagi wanita pun ada bagian dari apa yang mereka usahakan, dan mohonlah kepada Allah sebagian karunia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui segala sesuatu”. (Surah An Nisa’ ayat 32)

Masih banyak keluarga Muslim yang belum boleh berbuat sesuai dengan tuntunan Islam. Betapa banyak kita dengar keluhan dan kegoncangan keluarga Muslim bermula tidak melaksanakan hak dan kewaiban masing-masing. Suami hanya menuntut haknya untuk ditaati isteri, sedangkan isteri pula mengharapkan keperluan duniawi yang melebihi kemampuan suaminya dan mengabaikan tanggungjawab mendidik anak-anak dirumah dan anak-anak pula sukar untuk melaksanakan tuntutan adab-adab Islam yang diajarkan, dan lebih berminat pada muzik dan hiburan yang melalaikan. Akibatnya berlakulah porak peranda dalam keluarga dan berlaku perjalanan hidup yang tidak harmoni.

Gejala sosial yang banyak berlaku sekarang ini adalah berpunca daripada rumah tangga yang tidak berjalannya tarbiyah Islam dan anak-anak terbiar tanpa didikan yang sempurna dilaksanakan oleh ibu bapa. Ibu bapa pula hanya sebuk mencari rezeki lebih dengan tujuan untuk membahagiakan keluarga tetapi akibatnya membawa kehancuran di dalam rumah tangga tersebut kerana masing-masing memburu kebendaan semata-mata yang mengakibatkan meninggalkan ajaran dan akhlak Islam.

Dalam Islam masing-masing anggota dalam rumah tangga ada tanggungjawab masing-masing. Suami adalah pemimpin umum yang bertanggung jawab terhadap perjalanan rumah tangganya . Kerana tugas mencari nafkah adalah dibebankan kepadanya . Isteri adalah pemimpin rumah tangga untuk tugas-tugas dalaman yang bertugas mengatur urusan rumahtangga, baik ditangani sendiri maupun dengan bantuan orang lain.

Sahabat,

Di antara ciri wujudnya identiti rumah tangga Muslim ialah kewajipan berdakwah mestilah terlaksana dalam rumah tangga itu. Ini bermaksud angota rumah tangga - suami, isteri dan anak-anak - menjalankan usaha dakwah kepada teman-teman, saudara mara mahupun jiran tetangga. Suami Muslim yang soleh perlu melalui proses pendidikan dan terus menerus mendidik dirinya sebagai pendakwah contoh kepada angota keluarganya. Kesibukan di dalam kehidupan sehariannya biarlah berhubung kait dengan dakwah yang telah menjadi darah dagingnya. lsteri dan anak-anak perlu dididik mengenai tanggungjawab dakwah. Mereka hendaklah disediakan untuk memikul tugas dakwah.

Terdapat ramai juga pendakwah yang sangat aktif di medan dakwah tetapi roh dakwah tidak wujud di dalam rumah tangganya sehingga bukan sahaja isteri dan anak tidak memberi sokongan kepada perjuangannya, bahkan mereka menjadi penghalang utama, mengusutkan fikiran dan menekan perasaan pendakwah sehingga akhirnya pendakwah berkenaan meninggalkan perjuangannya.

Atas sebab inilah dakwah dan pendidikan perlu dilaksanakan di dalam rumah tangga secara terancang dan berterusan. Anak dan isteri perlu dibimbing peringkat demi peringkat dan tahap demi tahap untuk menjadikan dakwah Islam sebati dengan kehidupan mereka.

by:Abu Basyer


sumber : http://www.facebook.com/photo.php?fbid=160292613997580&set=a.160290577331117.42268.158969170796591

No comments:

Post a Comment