Saturday 26 January 2013

✿ Hidup dan Pesan Nabi


Hidup bagaikan garis lurus 
tak pernah kembali 
ke masa yang lalu 

Hidup bukan bulatan bola 
yang tiada ujung 
dan tiada pangkal 

Hidup ini merangkak terus 
semakin mendekat ke titik terakhir 
Setiap langkah hilanglah jatah 
menikmati hidup, nikmat di dunia 

Pesan Nabi tentang mati 
Jangan takut mati karna pasti terjadi 
Setiap insan pasti mati 
Hanya soal waktu 

Pesan Nabi tentang mati 
Janganlah minta mati datang kepadamu 
Dan jangalah kau berbuat 
menyebebabkan mati 

Tiga rahasia Illahi 
yang berkaitan dengan hidup manusia 
Kesatu tentang kelahiran 
Kedua: pernikahan 
Ketiga: kematian 

Penuhi hidup dengan cinta 
Ingatkan diri saat untuk berpisah 
Tegakkan sholat lima waktu 
Dan ingatkan diri saat disholatkan 

Pesan Nabi tentang mati 
Jangan takut mati karna pasti terjadi 
Setiap insan pasti mati 
Hanya soal waktu 

Pesan Nabi tentang mati 
Janganlah minta mati datang kepadamu 
Dan jangalah kau berbuat 
menyebebabkan mati 

Pesan Nabi jangan takut mati 
Meski kau sembunyi, dia menghampiri 
Takutlah pada kehidupan sesudah kau mati 
Renungkanlah itu 

Pesan Nabi jangan takut mati 
Meski kau sembunyi, dia menghampiri 
Takutlah pada kehidupan sesudah kau mati 
Renungkanlah itu 

Pesan Nabi tentang mati 
Jangan takut mati karna pasti terjadi 
Setiap insan pasti mati 
Hanya soal waktu 









✿ Hanya dengan mendengar!


Percayalah, kekadang manusia hanya inginkan ‘didengar’ bukan penyelesaian. Kerana dengan didengar, manusia terasa dihargai, disayangi dan dihormati. Jika kita ingin dicintai, cukuplah dengan menjadi pendengar. Tidak perlu melakukan apa-apa, cuma dengar…

Saya sendiri menempuh pelbagai kesalahan dan kesilapan dalam hidup akibat tidak mendengar. Sangka saya, dengan berkata-kata kita boleh meraih kemesraan. Rupa-rupanya tidak. Kita akan lebih dicintai, jika kita menjadi pendengar.

Kita pernah mendengar di corong radio apabila masyarakat menghubungi pakar motivasi, ulama, ustazah dan pendakwah… Acapkali mereka bukan meluahkan masalah. Mereka hanya bercakap dan bercakap… mengapa? Ya, mereka hanya ingin didengar.

Alangkah indahnya jika kita punya masa dan sedia meluangkan masa untuk menjadi pendengar. Kehausan untuk didengar ialah petanda kehausan kasih sayang dan cinta. Manusia tercari-cari siapa yang sudi menjadi pendengar untuk diluahkan segala dan semua. Sekali lagi, bukan inginkan penyelesaian tetapi hanya inginkan penghargaan dan kasih sayang.

Mari pada hari ini, kita bertekad untuk menjadi pendengar. Ketapkan mulut dan bukakan hati dan telinga untuk mendengar. InsyaAllah, kasih sayang akan bertaut dan berbunga kembali. Jangan biarkan isteri, suami, anak, pelajar, pekerja, pengikut dan pesakit kita ternanti-nanti… mulakanlah tugas cinta yang pertama: Just listen…hanya dengan mendengar.

Dari saya, hanya seraut catatan.

HANYA DENGAN  MENDENGAR…

Manusia memerlukan didengar kata-katanya sama seperti dia perlukan makanan. Tanpa makanan akan lemahlah jasad, sakitlah badan. Tanpa didengar akan tumpullah perasaan dan lumpuhlah emosi. Manusia yang membesar tanpa diberi hak didengar akan menjadi manusia yang kurang cerdas emosinya apabila dewasa kelak. Dia akan gagal mengurus perasaan marah, kecewa, takut dan dendamnya. Orang yang begini, akan gagal dalam hidupnya.

 Peri pentingnya didengar dalam hidup seseorang itu hingga menyebabkan bijak pandai mengungkapkannya melalui kata-kata hikmah yang berbunyi:“Tugas cinta yang pertama ialah mendengar.”

Ertinya, kekasih yang baik ialah kekasih yang mendengar rintihan, keluhan, aduan dan rayuan pasangannya. Justeru, dengan mendengar cinta akan lebih subur dan harum.

Orang yang banyak mendengar akan banyak belajar dalam hidup ini. Orang yang banyak mendengar bukan sahaja banyak pengetahuan tetapi akan banyak kawan dalam masyarakat. Mungkin kerana itu Allah ciptakan kita dua telinga dan satu mulut sebagai simbolik, kurangkan berkata-kata tetapi banyakkan mendengar. Malangnya, kebanyakan manusia lebih suka “memperdengarkan” daripada mendengar cakap orang lain.

 Lidah selalu menyebabkan telinga menjadi tuli. Dalam pergaulan, kita selalu sahaja ingin memonopoli perbualan. Kononnya dengan banyak bercakap kita akan terlihat pandai dan bijak berbanding orang yang diam. Kebanyakan kita menyangka orang yang diam itu bodoh. Tidak ada idea dan pendek wawasan. Sedangkan diam itulah terpuji dan bermanfaat. Kata bijak pandai:“Diam itu banyak hikmahnya tetapi sangat sedikit sekali orang mengambil manfaatnya.”

Cuba lihat orang di sekeliling kita dan lihat kita sendiri. Apakah kita banyak mendengar daripada berkata-kata? Maaf, kerap kali kita ingin jadi jaguh dan wira yang tidak henti-henti berkokok di mana-mana. Bila bercakap kita seolah-olah serba tahu. Kita mengetuai perbualan, kita menjuarai percakapan. Mengapa?

Ya, sering berlaku pangkat, harta, nama serta jawatan menyebabkan seseorang tidak sudi lagi menjadi pendengar. Pangkat ku lebih tinggi, aku cakap kau dengar. Nama ku lebih tersohor, jangan cuba-cuba mencelah bila aku berbicara. Kau tak layak menasihati aku, ilmu ku lebih tinggi. Begitulah yang kerap kita lihat dalam kehidupan. Bukan orang lain tetapi diri kita sendiri!

 Apakah dengan mendengar kita menjadi hina, miskin dan tidak ternama? Jika itulah anggapan kita jelas kita sudah tersalah. Menjadi pendengar menjadikan kita orang yang tawaduk (rendah diri). Orang yang tawaduk akan ditinggikan Allah. Orang yang mendengar akan lebih banyak belajar daripada orang yang asyik berkata-kata.

 Semakin banyak kita belajar semakin banyak ilmu yang kita peroleh. Dan bila semakin banyak ilmu yang kita miliki, maka semakin tinggilah darjat kita di sisi Allah dan manusia. Bukankah dalam Al Quran Allah telah menegaskan bahawa darjat ahli ilmu itu ditinggikan oleh-Nya berbanding orang yang tidak berilmu?

 Justeru, Allah yang Maha Pencipta juga bersifat Maha Mendengar – “sami”. Dan salah satu nama Allah yang baik dan indah ialah as Sami’. Allah maha mendengar rintihan, aduan, kebimbangan, luahan rasa daripada hamba-hambanya pada setiap masa, tempat dan ketika. Allah adalah “kekasih” setia yang sentiasa mahu mendengar rintihan hamba-hamba-Nya. Jika kekasih di kalangan manusia akan jemu jika masalah yang sama diperdengarkan berulang-ulang kali sebaliknya Allah tidak sebegitu. Allah bersedia mendengarnya  bila-bila masa sahaja.

 Jika ada jutaan manusia mengadu dan merintih kepada Allah, Allah tetap mendengar semua rintihan itu dengan terang dan jelas. Sedangkan seorang kaunselor, ulama, khadi, hakim yang terbaik sekalipun tidak mampu mendengar dua, tiga masalah daripada klien yang berbeza pada suatu masa dalam keadaan serentak.  Inilah kehebatan Allah sebagai As Sami’. Bukan sahaja Allah mahu mendengar bahkan mampu mendengar seluruh pengaduan hamba-Nya pada satu masa!

 Allah mulia dan agung kerana kesudian dan kesediaan-Nya mendengar rintihan dan pengaduan manusia. Begitu juga jika ada manusia yang mahu mendengar rintihan dan pengaduan manusia lain… dia juga akan ditinggikan darjatnya. Allah sudi mendengar rintihan semua manusia tanpa mengira pangkat, derjat, harta dan rupa paras. Allah mendengar permintaan seorang raja, Allah juga mendengar rintihan seorang hamba. Allah Maha Adil…

Seorang pesakit, datang merintih kerana penyakitnya… Allah mendengar. Seorang menteri mengadu hal-hal negara… Allah mendengar. Seorang isteri mengadu hal rumah tangga… Allah mendengar. Apa pun dan dari sesiapapun Allah tetap mendengar. Pintalah hal sekecil-kecilnya dan pintalah hal yang sebesar-besarnya, Allah tetap sudi mendengarnya. Daripada rintihan seorang pengemis yang merayu untuk mendapatkan sesuap nasi, sehinggalah kepada munajat seorang soleh yang memohon syurga, Allah tetap sudi mendengar, justeru Allah itu bukan sahaja mendengar tetapi Dia Maha mendengar!


Sebaliknya, manusia terlalu ego dan bersikap berat sebelah termasuk dalam soal mendengar ini. Ya, jika orang yang bercakap tinggi pangkatnya, maka dia senyap terpaku membisu. Tetapi jika yang bersuara itu orang bawahan, maka dia mendengar sambil lewa atau cepat-cepat memotong cakap sebelum orang bawahannya itu dapat menghabiskan percakapannya. Kalau sikaya menegur, semua menelinga dan tunduk akur. Tetapi bila si miskin yang mengadu, ramai yang berpaling dan menunjukkan reaksi selamba.

 Namun tidak begitu keadaannya pada insan bernama Muhammad saw. Baginda seorang yang sentiasa memberi hak mendengar kepada sahabat, isteri dan pengikut-pengikutnya. Walaupun, baginda “orang besar” yang memimpin negara, tetapi masih sempat mendengar rintihan anak kecil yang terbiar di tepi jalan di satu pagi Hari Raya. Di dalam mesyuarat, baginda sering mendengar pendapat sahabat-sahabatnya. Kekadang baginda ada pandangan, tetapi dirasakannya ada pandangan lain yang lebih tepat… maka diambilnya pandangan yang lebih tepat itu!

 Itulah Rasulullah saw yang paling berjaya meniru sifat As Sami’ Allah swt. Bagaimana dengan kita? Ah, malang, kekadang pangkat tidaklah setinggi mana… namun egonya sudah setinggi langit. Kononnya kitalah yang paling bijak dan mulia. Jika dalam satu majlis kita tidak dialu-alukan dengan kata-kata sambutan, maka kita rasa dipinggirkan. Jika dalam mesyuarat kita tidak dijemput bercakap, terasa orang menafikan keintelektualan, gelaran dan jawatan kita.

Anda tidak perlu banyak cakap untuk disenangi dan disayangi, cukup dengan menjadi pendengar. Lihat mata orang yang bercakap, buka telinga dan hati, dengarlah dengan penuh simpati dan empati… nescaya orang akan jatuh hati. Bila anak-anak menghampiri kita, pegang tangannya dan ucapkan, apa yang kamu ingin katakan? Ayah atau ibu sudi dan sedia mendengarnya. Jika pekerja bawahan menziarahi atau datang di muka pintu rumah atau bilik anda lalu memberi salam, jawab salamnya dan bawa dia dekat dan dengar luahan katanya.

Dengarlah bisikan orang di sekeliling kita. Insya-Allah, kita tidak akan terpaksa mendengar jeritan. Berapa banyak bisikan yang dibiarkan yang akhirnya bertukar menjadi jeritan yang memeritkan. Isteri ingin mengadu, suami menjauh. Anak hendak bercakap, ibu-bapa membentak menyuruh diam. Pekerja ingin berbincang, dituduh ingin mogok. Rakyat ingin memberitahu, kononnya pemimpin serba tahu…

Terlalu banyak bisikan yang dipinggirkan dan disisihkan. Akhirnya, bisikan menjadi jeritan. Anak derhaka, isteri nusyuz, diceraikan suami, pekerja lari, rakyat berpaling tadah… Semuanya gara-gara dan angkara sikap mendengar yang semakin terhakis dalam kehidupan dan pergaulan.

http://genta-rasa.com/2013/01/17/just-listen-hanya-dengan-mendengar/

Wednesday 16 January 2013

✿ Al-Fatihah



Surah Al-fatihah sering kali dibaca didalam solat wajib mahu pun solat sunat, malah ianya wajib di baca setiap kali mendirikan solat,di samping itu tahukah sahabat sekalian bahawa di sebalik surah Al-Fatihah itu ada harapan yang kita inginkan.

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Wahai Tuhanku siapakah yang Engkau kasih dan siapa yang kau sayang ?

Segala pujian hanya bagi Allah Rabb sekalian alam

Kami memuji-Mu dengan semua nama milik-Mu, sebanyak kalimat dalam kitab-kitab-Mu, sebanyak makhluk yang Engkau ciptakan, sebanyak apa yang ada dilangit dan di bumi dan diantara keduanya, seberat timbangan Arasy-Mu, wahai Tuhan Yang Agung,Yang Maha Berkuasa,Yang Maha Mulia,terimalah pujian pujian kami, wahai Tuhan hidup kami,wahai Tuhan matinya kami,wahai Tuhan dunia dan akhirat.Tuhan yang Kekal Abadi.

Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Kasihi kami dengan pengampunan akan segala dosa yang terdahulu dan terkemudian,dosa yang tersembunyi dan yang terang lagi nyata. Ampuni segala dosa yang dilakukan siang dan malam, sesungguhnya kami mengaku akan segala dosa dosa dan Engkaulah yang lebih tahu akan semua dosa kesalahan kami.Wahai yang Maha Penyayang sayangilah kami dengan taufik dan hidayat-Mu, sesungguhnya kami lemah lagi hina di hadapan-Mu,sempurnakan segala urusan dunia dan akhirat kami, segala urusan hidup dan mati kami, sempurnakanlah rezeki dan syukur kami, sempurnakan kami dengan reda-Mu,kembalikan kami kepada-Mu dalam keadaan kami meredai Engakau Tuhanku dan Engkau meredai kami hamba-Mu.

Yang memiliki Hari Pembalasan

Wahai Yang Maha Adil, kami reda Engkau Tuhanku, Islam agama kami, Muhammad Nabi ikutan kami, bangkitkan kami dengan pengakuan ini seikhlasnya. Bangkitkan kami pada hari itu dengan reda-Mu bersama kami, bangkitkan kami dengan para kekasih-Mu sebelum dan selepas kami, bangkitkan kami dalam keadaan sempurna sepertimana kejadian kami di dunia, lindungilah kami dengan limpah rahmat-Mu, saat tiada lagi perlindungan selain Perlindungan-Mu. Bangkitkan kami dengan Kemuliaan-Mu, beratkan amal kebajikan timbangan Al-Mizan untuk kami. Berikanlah buku amalan dengan tangan kanan dari arah depan kami. Ya Allah, masukkan kami dalam taman-taman syurga dengan limpah kasih dan sayang-Mu.

Kepada Engkau kami berserah dan kepada Engkau kami pohon pertolongan

Kepada Engkau kami berserah mengharap pengampunan, rahmat dan pertolongan-Mu, tiada yang berlaku tanpa izin-Mu. Tetapkan dalam urusan takdir itu segala yang terbaik dari sisi-Mu,kuatkan kami menerimanya. Tabah menghadapinya. Bantulah hamba yang lemah lagi hina ini wahai Qudrat yang Maha Membantu di dunia malah di akhirat. Putuskan kami dalam golongan yang taat kepada-Mu. Dengarlah pinta kami wahai Yang Maha Mendengar, kabulkan rayuan kami wahai Pengkabul Doa.

Tunjukan kami jalan yang Lurus

Bantulah kami, tunjukan kami kebenaran akan kebenarannya, berikan kami keteguhan mengikutinya, tunjukan kami kebatilan akan kebatilanya dan berikan kami kekuatan mencegah dan melawan nafsu kami yang mudah tertarik padanya. Ya Allah, Engkau Benar, Islam agama benar, Para Nabi itu benar, syurga itu benar, neraka itu benar, bertemu dengan-Mu itu benar, lindungi kami dengan kebenaran jauhkan kami dengan kemungkaran. Masukkan kebenaran zikir di lidah kami. Masukkan kebenaran Al Quran dalam kalbu kami, masukkan kebenaran as-sunnah dalam hidup dan amalan kami. Kasihi kami dengan kebenaran-Mu , berhukum dengan hukum-Mu, mengikut kebenaran-Mu. Ya Allah tetapkan kaki kami di titian sirat. Bantu kami melintasi dengan aman. Benarkan kami melintasi dengan sepantas kilat. Benarkan kami berada bersama dengan mereka yang Engkau iktiraf kebenaran mereka. Wahai Yang Maha Benar.

Iaitu jalan yang Engkau beri nikmat

Jalan para Nabi, jalan para siddiqin, jalan para syuhada dan jalan para solehin. Kurniakan kami kefahaman agama yang Engkau beri kepada para Nabi, kurniakan kami kebenaran para siddiqin dalam kehidupan kami, kurniakan kami keberanian para syuhada mencintai mati menegakan agama-Mu di muka bumi, kurniakan kami kekuatan beribadat dan ilmu para solehin, limpahkan nikmat mu keatas kami.

Bukan jalan mereka yang dimurkai dan bukan jalan mereka yang sesat 

Lindungilah kami dari segala macam tipu daya mereka, lindungilah kami dari kemurkaan-Mu, lindungilah kami dari kesesatan.Teguhkan pendirian kami dari mengikuti ajakan pujuk rayu mereka. Kuatkan iman kami dengan setiap tentangan mereka.Tundukan nafsu kami dengan setiap pujuk rayu mereka .Ya Rabbal Alamin selamatkan kami dari godaan mereka, godaan dan pujuk rayu syaitan dan seterunya.

Amin
Perkenanlah wahai Tuhan yang memperkenankan permintaan hamba-Nya apabila dia berdoa. Sesungguhnya hamba yang hina ini meminta minta pada-Mu seperti mana si fakir papa kedana meminta kepada Engkau yang Maha Kaya dan tidaklah berkurangan khazanah milik-Mu. Wahai Tuhan ku perkenankanlah permintaan hamba-Mu ini.

Monday 7 January 2013

✿ Bacaan Zikir



Subhanallah (سبحان الله)

Maksud literalnya adalah "Maha Suci Allah". Jika dikaji dari sudut bahasa, kalimah "Subhaana" adalah membawa maksud tanzeeh, yakni penyucian dan pembersihan dari segala kekurangan dan kelemahan. Ia terdapat dalam beberapa tempat dalam al-Quran:
"Allah sekali-kali tidak mempunyai anak, dan sekali-kali tidak ada tuhan (yang lain) beserta-Nya, kalau ada tuhan beserta-Nya, masing-masing tuhan itu akan membawa makhluk yang diciptakannya, dan sebagian dari tuhan-tuhan itu akan mengalahkan sebagian yang lain. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sifatkan itu,"
(al-Mu'minuun: 91)

"Dan Tuhanmu menciptakan apa yang Dia kehendaki dan memilihnya. Sekali-kali tidak ada pilihan bagi mereka. Maha Suci Allah dan Maha Tinggi dari apa yang mereka persekutukan (dengan Dia)."
(al-Qasas: 68)

Daripada ayat-ayat di atas, dapatlah kita simpulkan bahawa kalimah "Subhaanallah" adalah bermaksud Allah Subhaanahu Wata'ala adalah Suci dari segala kekurangan, kelemahan dan ketidak sempurnaan yang tidak layak bagiNya.

Justeru, apabila melafazkan kalimah "Subhaanallah" , seharusnya terlintas di dalam hati kita bahawa Allah Ta'ala itu Maha Agung, Maha Sempurna serta langsung tidak ada kekurangan atau kelemahan. Dari itu, akan lahirlah rasa bahawa diri kita ini adalah hamba yang hina kerana kita ini serba kekurangan dan banyak membuat kesilapan. Lalu wajarlah Allah Taala itu disembah dan ditaati, dan kita pula langsung tidak layak untuk menderhakai Allah, walaupun sedikit.


 Alhamdulillah (الحمد لله)

Maksudnya jelas lagi tegas, iaitu: segala pujian itu adalah bagi Allah. Hanya untuk Allah. Iaitu, segala ucapan pujian, kesyukuran dan penghargaan itu hanya layak bagi Allah, kerana Dialah yang menjadikan segala nikmat, dan segala perjalanan dunia ini dialah yang mengaturnya. Maka jika ada sesuatu yang menggembirakan, sememangnya yang paling layak untuk menerima pujian dan penghargaan adalah Allah,kerana dialah yang telah menetapkan segala-galanya.

Seharusnya apabila kita dipuji, sebaik-baiknya kita panjangkan terus pujian itu pada Allah dengan ucapan Alhamdulillah, kerana Dialah yang sebenarnya layak untuk pujian itu, dan dengan berbuat demikian boleh mengelakkan kita daripada takabbur dan bangga diri.

Dan tidak salah mengucapkan terima kasih sebagai tanda penghargaan sesama manusia, kerana sabda Rasulullah s.a.w.:

لَا يَشْكُرُ اللَّهَ مَنْ لَا يَشْكُرُ النَّاسَ
"Barangsiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia, dia tidak bersyukur kepada Allah"
(Hadith riwayat Ahmad, Abi Daud dan Turmuzhi)


Namun, harus diingat, bahawa ucapan syukur dan pujian sesama manusia adalah bersifat majaz (kiasan) semata-mata, kerana hakikatnya, Allah lah yang menjadikan segala-galanya. Justeru setiap kali kita memuji atau dipuji, haruslah kita ingat bahawasanya yang sebenar-benar layak bagi segala pujian adalah Allah, supaya kita tidak terjerumus dalam lembah kesyirikan dan takabbur.


 Allahuakbar (الله أكبر)

Kalimah "Akbar" adalah dalam wazan tafdheel, justeru akbar bermaksud yang maha besar, yakni yang paling besar. Justeru kalimah Allahuakbar bermaksud, bahawasanya Allah lah yang  paling besar, yang paling penting, dan paling mustahak. Tiada perkara lain yang lebih utama berbanding Allah Ta'ala. Segala perintah Allah mesti didahulukan dari segala urusan yang lain. Larangan Allah mestilah dijunjung dan diutamakan dari tuntutan dan pujuk rayu hawa nafsu. Justeru, Allah lah yang paling utama dan paling besar dalam alam ini, dan paling besar dalam kehidupan setiap hamba.

Berapa kali sudah kita menyebutnya, terutamanya dalam sembahyang. Siang dan malam. Bayangkanlah jika kalimah ini dihayati, sudah tentu di luar sembahyang pun, Allah jualah yang menjadi matlamat hidup dan prioriti utama dalam segala hal.

Mudah-mudahan selepas kita memahami dan memikirkan maksud kalimah-kalimah zikir ini, dapatlah kita menghayati zikrullah dan seterusnya memberi kesan kepada hati dan menambahkan keimanan. Wallahu 'Alam.