Wednesday 28 December 2011

✿ Hadis 4/40 : Proses kejadian manusia


Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah ibn Mas'uud r.a. beliau berkata:
Rasulullah SAW telah bersabda, dan Baginda adalah seorang yang benar lagi dibenarkan (iaitu dipercayai):
 
Sesungguhnya setiap orang di kalangan kamu dihimpunkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari berupa air mani, kemudian menjadi segumpal darah selama tempoh yang sama, kemudian menjadi seketul daging selama tempoh yang sama, kemudian dikirimkan kepadanya seorang malaikat lalu dia menghembuskan padanya ruh dan dia diperintahkan dengan 4 kalimat; iaitu supaya menulis rezekinya, ajalnya, amalannya dan adakah dia celaka atau bahagia. Demi Allah Yang tiada Tuhan melainkanNya, sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli syurga, sehingga jarak antaranya dan syurga tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli neraka lalu dia memasuki neraka. Dan sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli neraka, sehingga jarak antaranya dengan neraka tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli syurga lalu dia memasuki syurga.
 
[Hadis riwayat Bukhari dan Muslim]


=============
Kefahaman Hadis
=============

1) Peringkat Pertumbuhan Janin Dalam Rahim
Ayat-ayat yang berkaitan dengannya 
"Wahai umat manusia, sekiranya kamu menaruh syak (ragu-ragu) tentang kebangkitan makhluk (hidup semula pada hari kiamat), maka (perhatilah kepada tingkatan kejadian manusia) kerana sebenarnya Kami telah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitik air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging yang disempurnakan kejadiannya dan yang tidak disempurnakan; (Kami jadikan secara yang demikian) kerana Kami hendak menerangkan kepada kamu (kekuasaan Kami); dan Kami pula menetapkan dalam kandungan rahim (ibu yang mengandung itu) apa yang Kami rancangkan hingga ke suatu masa yang ditentukan lahirnya; kemudian Kami mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian (kamu dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan (semasa kecil atau semasa dewasa) dan ada pula yang dilanjutkan umurnya ke peringkat tua nyanyuk sehingga ia tidak mengetahui lagi akan sesuatu yang telah diketahuinya dahulu. Dan (ingatlah satu bukti lagi); Engkau melihat bumi itu kering, kemudian apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya (dengan tumbuh-tumbuhan yang merecup tumbuh), dan gembur membusutlah ia, serta ia pula menumbuhkan berjenis-jenis tanaman yang indah permai."
(Al-Haj : 5)

"Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah; Kemudian Kami jadikan “pati” itu (setitis) air benih pada penetapan yang kukuh; Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta."
(Al- Mu’minun :12-14)

Hikmat di sebalik kejadian berperingkat-peringkat :
Sebagai pengajaran kepada manusia untuk mencapai tahap kesempurnaan ma’nawi mestilah melalui cara ((tadarruj)) beransur-ansur tidak gopoh atau gelojoh.


2) Ditiup Ruh
Sepakat ulama’ menyatakan bahawa ruh ditiup pada janin selepas 120 hari disenyawakan.Hikmat bagi perempuan yang kematian suami, baginya iddah selama empat bulan sepuluh hari bagi menjamin kesucian rahimnya (tak mengandung).


3) Menggugurkan Janin
Sepakat ulama’ menyatakan haram (setelah ditiupkan ruh) - dikira sebagai jenayah dan wajib membayar diat (denda) bila digugurkan, sekalipun mati selepas itu. Gugurkan sebelum ditiupkan ruh - juga haram pada kebanyakan pendapat. Ada yang kata boleh tapi pendapat yang dhaif.


4) Keluasan Ilmu Allah Maha Mengetahui keadaan-keadaan makhluk sebelum dijadikan samada iman dan taat atau kufur dan maksiat, bahagia atau derita semua dalam pengetahuannya.

Ilmu Allah tidak menghalang manusia dari berikhtiar (Al- Syams: 7-10).
 
"Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa; -sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat)."
 

=============
Pengajaran Hadis
=============

Kejadian manusia yang unik menunjukkan kekuasaan Allah SWT mencipta makhlukNya, seterusnya menjadi dalil bahawa hanya Dialah Tuhan yang berhak disembah. Kejadian manusia mesti menjadi renungan manusia yang berakal, kerana kejadiannya yang teramat indah dan unik ini tiada tolok bandingnya - manusia tidak mampu mencipta manusia atau robot bernyawa dan berakal fikiran.

Proses kejadian manusia yang berperingkat-peringkat ini telah diceritakan oleh lslam melalui al-Qur'an dan hadis Nabi semenjak 14 kurun lampau, tetapi manusia baru benar-benar arif tentang proses ini di zaman kemajuan sains. lni adalah bukti yang jelas bahawa Allah SWT yang mencipta makhluk ini, Dia jugalah yang Maha mengetahui rahsia kejadian mereka.

Empat ketentuan hidup manusia telah ditetapkan oleh Allah SWT semenjak dia belum lahir ke bumi - rezekinya, ajal kematiannya, amalannya dan nasibnya sama ada dia akan menjadi seorang yang susah atau senang. Amalan terakhir manusia adalah faktor penentu kepada nasibnya yang kekal abadi di akhirat. Bolehjadi dia sangat baik si sepanjang hayat - tetapi di saat terakhir dia melakukan perbuatan ahli neraka, iaitu maksiat lalu dia mati dan mendapat balasan neraka. Begitulah sebaliknya.



sumber : http://www.halaqah-online.com/v3/index.php?option=com_content&view=article&id=135:hadis-4&catid=58:hadis-40&Itemid=75

sumber asal : Hadith 40 (Terjemahan & Syarahan)


1 comment: