Friday 23 December 2011

✿ IBADAH KORBAN

 بسم الله الرحمن الرحيم
 الحمد الله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى اله واصحابه ومن تبعه إلى يوم الدين فأما بعد

Taarif Korban dan Pensyariatannya

• Perkataan Korban atau dalam bahasa arabnya ( الأضحية ) ialah nama bagi sesuatu yang dikorbankan / nama binatang yang disembelih untuk korban pada Hari Raya Aidiladha.

• Dari sudut Fiqh – ia bermaksud : menyembelih binatang tertentu dengan niat untuk menghampirkan diri kepada Allah swt (ibadah) dan dalam masa yang ditentukan. (Hari Raya Aidiladha dan hari Nahar)

• Ibadah korban telah disyariatkan pada tahun ke-2 hijrah.

• Dalil pensyariatannya : Surah al-kauthar :2

Ertinya : Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).

• Dalil Hadith daripada Aisyah r.ha:
 
ما عمل ابن آدم يوم النحر عملا أحب إلى الله تعالى من إراقة الدم،إنها لتأتي يوم القيامة بقرونها وأظلافها وأشعارها،وإن الدم ليقع من الله عز وجل بمكان قبل أن يقع على الأرض، فطيبوا بها نفسا
 
Ertinya : Tidak ada suatu amalan anak Adam pada hari Nahar yang lebih disukai oleh Allah swt selain daripada menumpahkan darah (korban). Pada Hari Kiamat dia akan datang dengan segala tanduk, kuku, dan bulunya. Darahnya akan menitik di satu tempat di sisi Allah sebelum dia menitik ke bumi. Oleh itu elokkanlah diri kamu dengan melakukannya.
 
Hukum Korban

• Hukum Korban adalah sunat mengikut pandangan Jumhur Ulamak.

• Dalilnya daripada hadith Ummu Salamah :
 
أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : إذا رأيتم هلال ذي الحجة ، وأراد أحدكم أن يضحي، فليمسك عن شعره وأظفاره
 
Ertinya : Apabila kamu melihat anak bulan Zulhijjah, dan ada dilkalangan kamu yang mahu berkorban maka hendaklah dia jangan membuang rambut dan kukunya.

Dalam hadith ini, amalan korban dikaitkan dengan keinginan (perkataan yang mahu). Maka sesuatu perkara yang berkaitan dengan kemahuan adalah bukan wajib.

Sabda nabi daripada Ibn Abbas r.a :
 
"ثلاث هن علي فرائض ، وهن لكم تطوع : الوتر، والنحر، وصلاة الضحى"
 
Ertinya :Ada tiga perkara yang hukumnya wajib ke atasku dan sunat (sukarela) bagi kamu : Sembahyang witir, ibadah korban, dan sembahyang sunat dhuha.

• Terdapat dua bentuk korban :

- Wajid : iaitu bila seseorang itu berniat nazar (contoh lafaz : aku bernazar untuk korban satu ekor kambing) atau membeli binatang dengan niat untuk berkorban (contoh : kerana Allah aku wajib mengorbankan binatang ini) atau (aku jadikan kambing yang aku beli ini sebagai korban) – maka wajib dilaksanakan korban bila sampai waktunya.

Sunat :iaitu bila seseorang berniat untuk sedekah (contoh lafaz : ini adalah korban insyaallah.) –maka sunat hukumnya.

SYARAT-SYARAT KORBAN

• Mereka yang mampu dan mempunyai pendapatan yang lebih maka disunatkan berkorban. Dan wajib bagi yang telah berniat nazar.

• Korban dikira sah dalam perkara berikut :

- Binatang korban tersebut tidak mempunyai sebarang kecacatan yang buruk atau yang mengurangkan kuantiti daging ( kecacatan yang ulamak sepakat : cacat yang teruk di salah satu matanya, berpenyakit yang teruk, tempang, dan kurus yang melampau)

- Dalil Hadith nabi saw daripada al-Barra’ bin A’zib r.a :
 
أربع لا تجوز في الأضاحي العوراء البيّن عورها، والمريضة البيّن مرضها، والعرجاء البيّن ضلعها، والكسير (أو العجفاء) التي لاتنقي
 
Ertinya: Nabi saw bersabda:empat perkara yang tidak harus ada pada binatang korban – kabur mata yang bersangatan, sakit yang teruk, tempang yang menonjolkan tulang rusuknya dan bersangatan kurus sehingga tidak ada lemak langsung.

-Dalam had tempoh masa dan hari tertentu sahaja iaitu sekadar selesai dua rakkat solat hari raya aidiladha dan bacaan khutbah yang ringkas. Berpanjangan waktu tersebut siang dan malam hingga hari tasyrik yang terakhir iaitu 13 zulhijjah.

YANG DITUNTUT MELAKUKAN IBADAH KORBAN

• Beragama islam, merdeka, akil baligh, bermukim (bukan dalam pemusafiran) dan berkemampuan.

JENIS BINATANG YANG DIKORBANKAN

• Para ulamak bersepakat, ibadah korban hanya sah dengan menggunakan binatang an’am (أنعم) iaitu : unta, lembu, kerbau, dan kambing samada jantan atau betina.

• Ulamak berselisih pandangan tentang binatang yang terbaik:

-Ulamak syafie menyatakan yang paling baik ialah unta, kemudian lembu, dan kemudian kambing. Mana yang paling banyak dagingnya maka yang itu lebih baik dan yang jantan lebih baik dari betina.

-Ada yang menyatakan kibasy (kambing) yang lebih baik kerana menilai dari dagingnya yang sedap dan baik.

UMUR BINATANG UNTUK DIKORBANKAN

• Para ulamak feqh bersepakat mengatakan harus berkorban dengan anak unta, lembu atau kambing yang berumur dua tahun lebih.

• Manakala anak kambing yang kecil yang berumur setahun dan masuk dua tahun juga dibolehkan untuk dibuat korban.

• Ulamak syafie mengatakan : bagi unta disyaratkan umurnya lima memasuki enam tahun, kambing dan lembu dua memasuki umur tiga tahun.

CARA PEMBAHAGIAN KORBAN

• Ulamak bersepakat, satu ekor kambing hanya untuk korban seorang sahaja. Manakala lembu dan unta mencukupi untuk 7 orang.

• Dalil dari hadith Nabi saw daripada Jabir r.a :
 
"نحرنا مع النبي صلى الله عليه وسلم بالحديبية : البدنة عن سبعة والبقرة عن سبعة"
 
Ertinya: Kami berkorban bersama Rasulullah saw semasa Hudaibiyah dengan seekor unta atau seekor lembu untuk tujuh orang.

• Dibolehkan 7 orang yang berkongsi dalam seekor unta atau lembu berkongsi satu niat (kesemua berniat korban) atau berlainan niat (sebahagian berniat korban dan sebahagian berniat akikah atau sebagainya)

• Daging yang dikorbankan hendaklah dibahagi kepada 3 bahagian iaitu :-1/3 dimakan sendiri-1/3 untuk saudara-mara, jiran, dan sahabat handai, walaupun yang kaya.-1/3 disedekahkan kepada fakir miskin.

• Namun yang afdal bagi pendapat ulamak Syafie, yang berkorban hendaklah memakannya sedikit untuk mengambil berkat dan selebihnya disedekahkan.

• Daripada Ibnu Abbas r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah saw telah membahagikan korban kepada 3 bahagian:
 
ويطعم أهل بيته الثلث، ويطعم فقراء جيرانه الثلث، ويتصدق على السؤال بالثلث
 
Terjemahannya : Baginda menjamu makan untuk ahli keluarga Baginda sebanyak 1/3, dan menjamu jiran-jirannya yang fakir dan miskin sebanyak 1/3 dan bersedekah untuk yang meminta sebanyak 1/3.

HUKUM DAGING KORBAN

• Jumhur Fuqoha (ulamak hanafi, maliki, dan hanbali) mengatakan : jika korban yang dilaksanakan itu korban sunat maka harus dimakan dagingnya. Dan jika korban itu korban nazar yang wajib, maka haram memakannya bagi yang empunya korban dan jika dimakan hendaklah digantikan semula.

• Pendapat imam Syafie : Korban yang wajib iaitu yang dinazarkan ataupun telah ditentukan sama ada dengan menyebut "Ini adalah korban". Maka hukumnya bagi yang berkorban dan ahli keluarga yang di bawah tanggungannya tidak harus memakannya. Dia wajib mensedekahkan semua sekali.

• Adapun korban sunat, maka tuannya sunat memakannya iaitu yang afdalnya dia hendaklah memakannya beberapa suap sebagai mengambil berkat.

• Firman Allah swt :dalam surah al-Hajj :28
 
فكلوا منها وأطعموا البائس الفقير
Maksudnya : … hendaklah kamu memakan daripadanya dan menjamunya kepada mereka yang sengsara dan fakir.



AMALAN SUNAT KETIKA MELAKSANAKAN IBADAH KORBAN

• Para ulamak Syafie telah menyenaraikan lima perkara yang dikira sunat semasa berkorban iaitu

-Membaca Bismillah selengkapnya atau sekadar bismillah-Berselawat ke atas Nabi saw.-Mengarahkan binatang korban ke arah kiblat-Bertakbir sebelum atau selepas bacaan bismillah-Berdoa supaya diterima

• Orang yang berkorban hendaklah berdoa dengan menyebut :
 
اللهم هذه منك وإليك، أي نعمة صادرة منك، تقربت بها إليك
Terjemahannya : Ya Allah adalah nikmat yang datang dari Mu dan dengannya aku memohon untuk dapat mendampingMu.
 
والله أعلم بالصواب وهو الهادي إلى سبيل الرشاد
 
Rujukan : - Kitab Feqh Perundangan Islam dan dalilnya (versi bahasa Melayu Karangan Al-A’lim A’lamah Dr Wahbah Zuhaili)
 
- Al-Quran terjemahan.

http://hafizullah-perindusyahid.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment