Tuesday 20 December 2011

✿ Hadis 7/40 : Agama itu nasihat



Daripada Abu Ruqaiyyah Tamim ibn Aus al-Daarie r.a. bahawa Nabi SAW telah bersabda:
Agama itu adalah nasihat.
Kami berkata: Untuk siapa?
Baginda bersabda:
Untuk Allah, untuk kitabNya, untuk RasulNya, untuk para lmam kaum muslimin dan untuk umat lslam seluruhnya.
[Hadis riwayat lmam Muslim]

=======
Isi Pokok
=======


1) Nasihah Lillah - mengimaninya/ ikhlaskan ibadah /taatinya serta jauhi larangannya.

2) Nasihah Likitabi - yakin ia kalam Allah bukan kalam makhluk - sebagai Manhaj hidup - sesuai sepanjang zaman -berusaha memperelokkan bacaan dan faham isi kandungnya.

3) Nasihah Lirasulihi- membenarkan kenabiannya/ ikut ajarannya/ kasih terhadapnya - agungkan sunnahnya/ kaji sirahnya/ berakhlak dgn. akhlaknya.

4) Nasihah Li aimmati muslimin - membantunya dalam tugasan/ nasihat ketika lupa/ halang dari berlaku zalim.

5) Nasihah Li ‘ammatihim - membimbing ke arah kebaikan dunia dan akhirat/ ajar apa yang mereka jahil terhadap agama/galakkan mereka kepada ketaatan.

Pengertian nasihat : Perkataan yang mempunyai maksud supaya yang dinasihati mendapat faedah. Orang yang memberi nasihat pula hendaklah menggunakan kata-kata yang sudah dipilih dan telah dihalusi serta ikhlas bersih dari maksud yang tidak baik.

Nasihat bagi Allah :
Beriman kepadaNya, beramal apa yang diperintahkanNya, meninggalkan laranganNya, mengingati kebesaranNya, mensyukuri nikmatNya


Nasihat bagi kitabNya :
Membaca ayat dengan cara yang betul, memahami erti serta mencari rahsia dan hukum, mendalami ilmu, memerhati hukumnya, menyesuaikan diri dengan pengajarannya dan yakin bahawa hanya kitabNya adalah pedoman hidup sepanjang zaman

Nasihat bagi RasulNya :
Membenarkan kerasulan, mempercayai apa yang disampaikan, mematuhi suruhan dan larangan, membela agama, memusuhi musuh agama, mencintai siapa yang mencintai agama, menghidupkan perjalanan dan sunnah pada diri dan masyarakat


Nasihat bagi imam kaum Muslimin :
Menolong dan menyokong mereka dalam kebenaran, patuh dalam urusan kebaikan, tegur dengan cara sopan, peringati mereka tatkala terlalai, jangan hasut orang ramai supaya keluar dari barisan ketaatan

Nasihat bagi Muslimin :
Memimpin ke jalan benar, mengawasi mereka dari jalan salah, mengajar mereka, belajar dari mereka, bertolongan dalam perkara kebaikan dan taqwa, saling hormat-menghormati, menjauhkan sifat yang membangkitkan fitnah dan permusuhan, memahami bagi setiap seorang adalah anggota dalam masyarakat

Nasihat besar faedahnya. Tetapi jika silap caranya mampu membawa bencana. Orang yang memberi nasihat hendaklah mengerti cara bagaimana melakukannya supaya nasihatnya dapat menginsafkan dan diterima. Setiap nasihat hendaklah secara sopan dan bijaksana, sesuai dengan keadaan mereka yang dinasihatkan itu. Kalau nasihat itu kepada seseorang atau beberapa orang hendaklah dilakukan dengan cara yang sembunyi. Sekiranya dilakukan di depan, maka nasihat seperti itu bukanlah lagi merupakan nasihat, tetapi suatu penghinaan terang-terangan.
Nasihat bukan sahaja berhadapan, sebaliknya dapat dilakukan di belakangnya. Sabda baginda s.a.w.:
"Sesungguhnya dari hak seorang Islam ialah menasihati baginya apabila ia ghaib (tiada bersama dengannya)."

Ini bererti jika ada orang lain hendak memburuk-burukkan atau merosakkan kehormatan peribadi kawannya, maka hendaklah ia menolak, membela serta membersihkannya. Kerana ini adalah haknya sebagai seorang Islam atas kawannya. Malahan inilah pengertian nasihat yang dikehendaki Rasulullah s.a.w. terhadap kawan sebagai tanda kesetiaannya. Dengan demikian terbentuklah keikhlasannya dalam pergaulan dan inilah jenis nasihat yang sangat diperlukan.

Nasihat sebegini juga menentukan hubungannya dnegan kawannya dan hak ini menjadi ukurannya. Kerana nasihat ketika berhadapan, belum tentu dapat mencerminkan kesucian hati, sebab mungkin nasihat itu semata-mata di luar sahaja, tidak dari jiwa yang ikhlas dan setiakawan.

=========
Pengajaran
=========



Agama lslam adalah agama nasihat iaitu agama yang berorientasikan nasihat sebagai teras pembinaan umat, menjaga perpaduan, mencipta kemajuan dan pembangunan, sama ada kemajuan duniawi ataupun pembangunan rohani. Membiarkan kerosakan terus berlaku atau perkara yang kurang baik dilaksanakan adalah bertentangan dengan konsep nasihat lslam.

lslam memperuntukkan hak memberi nasihat kepada semua penganutnya tanpa mengira kedudukan dan status. Nasihat yang diberikan meliputi golongan manusia sama ada pemerintah atau rakyat. Nasihat untuk Allah, KitabNya dan RasulNya bererti beriman dengan semua perkara tersebut dan beramal berpandukan tuntutannya yang sebenar.

Menurut Imam Nawawi - nasihat adalah wajib sekadar yang mampu dengan syarat seorang itu mengetahui bahawa nasihatnya akan diterima, suruhannya akan dipatuhi dan dirinya tidak terancam. Tanpa syarat ini tidaklah diwajibkan.

Wallahu'alam...



sumber asal : http://www.halaqah-online.com/v3/index.php?option=com_content&view=article&id=143:hadis-7&catid=58:hadis-40&Itemid=75

No comments:

Post a Comment