Saturday 17 December 2011

✿ CAPAILAH DARJAT KEMENANGAN

Bukan mudah untuk meletakkan diri di kalangan orang-orang yang berjaya dalam seluruh kehidupan. Banyak prasyarat yang terpaksa diharungi untuk meletakkan diri ke tahap tertinggi itu.

Benar amat seperti kata-kata Imam As-Syaheed Hasan Al-Banna, " Medan berangan-angan tidak sama dengan medan bercakap. Medan bercakap tidak sama dengan medan beramal. Medan beramal tidak sama dengan medan berjihad. Medan berjihad yang palsu tidak sama dengan medan jihad yang sebenar. Semua orang boleh berangan-angan, tetapi tidak semua angan-angan itu dapat diungkap dalam percakapan… ."

Setiap hari kita mendengar bilal melaungkan Hayya alafallah (Marilah menuju kemenangan) dalam laungan azan lima kali sehari. Apakah kemenangan yang dimaksudkan? Dalam Al Quran ada tiga istilah yang dimaksudkan dengan kemenangan iaitu "al falah","al fawzu" dan "al Nasr".

Kita perlu mengetahui ciri-ciri kemenangan ini agar kita termasuk di dalam hamba-hamba Allah yang mendapat kemenangan di dunia dan di akhirat.

Antara ciri atau sifat yang membawa kemenangan yang digambarkan dalam Al Quran ialah seperti berikut:

1. Orang-orang yang membersihkan jiwanya - Al A’la ayat 14.

2. Orang-orang yang mendapat petunjuk tuhan. - Al Baqarah ayat 5

3. Orang menyeru kepada yang baik dan menegah dari perkara yang mungkar - Al Imran ayat 104

4. Orang yang beriman dengan Rasulullah,s.a.w. yang memuliakannya, yang menolong dan membelanya dan mengikuti cahaya yang terang yang diturunkannya - Al A'raf ayat 157

5. Orang yang berjihad dengan harta benda dan dirinya - At Taubah ayat 88

6. Orang yang beriman dan taat serta patuh. - An Nur ayat 51

7. Orang yang membelanjakan sebahagian rezekinya kepada kaum keluarga, orang miskin dan musafir yang perlukan bantuan. - Ar Rum ayat 38

8. Orang yang dipelihara daripada kebakhilan. - At Taghaabun ayat 16

9. Orang mukmin yang khusyuk sembahyangnya, yang menjauhkan diri dari perkara yang sia-sia, yang membayar zakat, yang memelihara kemaluannya, yang memelihara amanah dan janji dan orang yang menjaga ibadah sembahyangnya. - Al Mukminun ayat 1-11.

10. Orang yang bertakwa. - Al Maidah ayat 100

11. Orang yang bertaubat. - An Nur ayat 31

12. Orang yang mengingati Allah. - Al A'Raf ayat 69

13. Orang yang sujud dan rukuk yang mengabdi kepada Allah dan membuat kebaikan. - Al Hajj ayat 77

14. Orang yang berat timbangan amalnya. - Al Mukminun ayat 102

Marilah kita menyemak diri kita bersama-sama sama ada ciri-ciri yang disenaraikan di atas telah ada dalam diri kita. Jika tidak ada, maka kita tidak tergolong dalam golongan yang akan mendapat kemenangan dalam hidup ini. Jika masih berkurangan, tambahlah dari masa ke semasa. Bertindaklah dari sekarang kerana penamat hidup kita mungkin akan tiba esok!!!

No comments:

Post a Comment