Wednesday 7 December 2011

✿ Azan

Laungan azan ialah tanda masuk waktu solat. Kaum Muslimin dituntut supaya melaungkan azan apabila masuk waktu solat sebagaimana perintah Nabi Muhammad SAW.

Hukum melaungkan azan apabila masuk waktu solat ialah sunat muakkad. Jika tiada seorang pun yang melaungkan azan, semua orang Islam di kawasan itu akan berdosa. Sebutan yang dilaungkan semasa azan merangkumi tujuh ayat utama yang bermaksud :

“Allah Maha Besar, Allah Maha Besar,
Saya menyaksikan bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah,
Saya menyaksikan bahawa Muhammad itu Pesuruh Allah,
Marilah menunaikan solat,
Marilah menuju kejayaan,
Allah Maha Besar, Allah Maha Besar.
Tiada tuhan melainkan Allah.”

Nabi Muhammad SAW bersabda, “Imam-imam itu dhumana (menjamin sembahyang makmumnya) dan orang-orang yang azan itu umana (amanah atas waktu sembahyang) maka Allah member petunjuk kepada imam-imam dan mengampunkan orang yang azan.” (HR Ibnu Hibban)

Sejarah mengenai azan amat menarik untuk direnungi.

Pada suatu hari, Nabi Muhammad SAW dan para sahabat berbincang cara untuk mengajak ummat

Islam agar segera menunaikan solat jika telah masuk waktu. Ada yang mencadangkan supaya dikibarkan bendera, ada yang mengesyorkan ditiupkan terompet dan ada juga yang mencadangkan supaya dibunyikan loceng, namun semua usul itu ditolak oleh Nabi Muhammad SAW.

Abdullah bin Zaid bermimpi bertemu dengan seseorang yang memberitahunya untuk mengumandangkan azan dengan menyerukan lafaz azan sebagaimana yang kita ketahui sekarang. Mimpi itu disampaikan oleh Abdullah kepada Rasulullah SAW. Semanjak itulah azan diamalkan oleh ummat Islam.

Azan pertama dikumandangkan oleh Bilal bin Rabah pada tahun pertama hijrah. Sehingga kini muadzin digelar bilal.

Selain itu, azan juga dikumandangkan semasa berlaku perkara penting seperti ketika lahirnya seorang bayi, ketika hendak berperang dan meraikan kemenangan. Azan turut dikumandangkan ketika musibah seperti kebakaran, puting beliung, tsunami dan mengebumikan jenazah. Namun, dalam hal melaungkan azan semasa mengebumikan jenazah, ada pendapat yang mengatakan bahawa perkara itu “bidaah” (perkara yang diada-adakan, tetapi tidak dilakukan oleh Rasulullah SAW). Wallaahu a'lam.

Semasa peristiwa “Fathu Makkah” pada tanggal 10 Ramadhan tahun 8 Hijrah, Nabi Muhammad SAW beserta 10 000 muslimin menguasai Mekah dan menghancurkan berhala disekitar Kaabah. Selepas itu, Bilal bin Rabah juga mengumandangkan azan berhampiran Kaabah. Masya-Allah, satu lagi peristiwa istimewa telah berlaku semasa berada di langit ketujuh didalam peristiwa Isra Mikraj, Rasulullah SAW telah mendengar laungan azan. Allah telah menyempurnakan kemuliaan azan di langit dan di bumi.

Sebagai ummat Islam, kita hendaklah segera menunaikan solat apabila mendengar laungan azan. Semoga kita beroleh kejayaan sebagaimana erti “haiya alal falah” di dalam azan. 

Perkongsian isi hati sang Muadzin.

Sa'id bin jubair pernah bercerita:

"Ketika aku bersama Ikrimah, Maimun bin Mahran, Abu al-'Aliyah di dalam masjid di daerah Tha'if, Ibnu 'Abbas tiba-tiba menangis ketika mendengar azan hingga membuat kain sorbannya basah dan matanya merah.

Kemudian Abu al-'Aliyah bertanya, "Wahai saudara sepupu Rasulullah, kenapa engkau menangis dan kelihatan begitu sedih?"

Ibnu Abbas kemudian berkata, "Seandainya manusia mengerti benar apa yang diucapkan muadzin, nescaya mereka tidak akan pernah istirehat dan tidak pernah tidur."

Lalu ada orang lain yang juga hadir di sana bertanya kepada Ibnu Abbas, "Beritahu kami apa sebenarnya yang di ucapkan muadzin itu?"

Ibnu Abbas berkata,

"Apabila muadzin mengucapkan Allahu akbar...... Allahu akbar., maka sebenarnya ia menyatakan:

"Wahai orang-orang yang sedang sibuk, sambutlah panggilan ini, istirahatkanlah badanmu, dan cepat-cepatlah untuk melakukan kebaikan."

Apabila muadzin mengucapkan, 

"Asyahadu alla ilaha illallaah", maka sebenarnya ia mengucapkan:

"Saya persaksikan kepada semua makhluk yang berada di langit dan di bumi untuk menjadi saksi bagi saya di hadapan ALLAH nanti pada hari kiamat, bahawasanya saya telah menyeru kamu sekalian".

Apabila ia mengucapkan, 

"Asyhadu anna muhammadarrasulullaah", maka sesungguhnya ia mengucapkan:

"Nanti pada hari Kiamat semua nabi termasuk Nabi Muhammad shallallaahu 'alaihi wa sallam menjadi saksi, bahwa saya telah memberitahukan kepadamu lima kali sehari semalam."

Apabila ia mengucapkan, 

"hayya 'ala ash-shalah", maka sebenarnya ia mengatakan:

"Sesungguhnya ALLAH telah menegakkan agama ini untuk kamu, maka tegakkanlah!"

Dan apabila muadzin mengucapkan 

"hayya 'alalfalah", maka sebenarnya ia mengatakan:

"Masuklah kamu ke dalam rahmat, dan ambillah bagian petunjukmu."

Apabila muadzin mengucapkan 

"Allahu akbar-Allahu akbar, maka sebenarnya ia mengucapkan:

"Segala pekerjaan kan haram, sebelum mengerjakan shalat."

Dan apabila mu'adzin mengucapkan, 

"la ilaha illallah", maka sebenarnya ia mengucapkan:

"Inilah amanah bumi dan tujuh lapisan langit telah diletakkan di lehermu, maka terserah kamu apakah akan melaksanakannya atau meninggalkannya."

Dalam peperangan melawan syaitan, hingga Hari Kiamat
Sungguh sang muadzin selalu berada di garis depan,
Ia usir dengan lantunan azan hingga mereka lari terbirit-birit.
Maka, tiada manusia yang lebih khianat
Dari manusia yang meremehkan panggilan muadzin.

wallaahu a'lam

No comments:

Post a Comment