Friday 2 December 2011

✿ Sakit Yang Meringankan

Ramai orang tidak senang apabila ditimpa penyakit. Jiwanya gelisah. Jasadnya tidak selesa. Urusan hidupnya tergendala. Serba-serbi tidak kena, walaupun yang datang itu hanyalah sakit demam sahaja. Tidak dapat istirahat, susah untuk tidur, pening kepala, sukar bernafas dengan hidung yang tersumbat, tekak yang loya dan makanan terasa tidak ubah seperti sabun.

Ayuh muhasabah, macam mana perangai kita apabila sakit?

Adakah kita banyak meminta? Adakalanya sakit menjadikan seseorang itu sangat sensitif. Cepat terasa. Semuanya tidak memuaskan hati. Semua orang dirasakan seolah tidak memahami, tidak cukup menyayangi dan sering merasa terpinggir. Tiba-tiba saja menjadi seorang yang inginkan perhatian dan demanding.

“Aku kan sakit, kenapa tidak diziarah?”

Bagi sesetengah yang lain pula, sakit menyebabkan dia mengeluh, mengerang dan komplen tanpa henti. Kita bagaimana? Kalau sakit, apa bait-bait kata yang keluar dari bibir kita? Emosi akan teruji, terutamanya jika merasa sudah berubat, melaksanakan everything medically possible, sudah mengikut setiap satu nasihat doktor, makan ubat tepat masa, berpantang makan, bahkan dirawat doktor pakar paling terkenal, menginap di hospital dengan teknologi terkini. Namun, sakit tidak juga berkurang, malah makin bertambah.“Aku sudah makan ubat. Sudah ikut cakap doktor. Kenapa tak baik-baik??”.

Lalu perasaan kecewa bertandang dan menebal. Ada di antara orang sakit yang mempersoalkan kepakaran doktor dan menyalahkan pihak-pihak yang merawatnya. Rupanya dia lupa, para doktor adalah manusia biasa, yang hanya dapat berusaha sama sepertinya, tidak mampu menjanjikan apa-apa.Yang dapat dilakukan adalah… berbekalkan pengetahuan dan pengalaman, doktor membuat siasatan tentang keadaan penyakit, kemudian berfikir untuk menyenaraikan pilihan yang ada, membuat keputusan bersama-sama pesakit tentang apa yang boleh dilakukan dan bertawakal untuk hasil yang diinginkan.Tidak lebih dari itu. 

Ketetapan Allah jualah yang menentukan kejayaan ubat atau pembedahan itu. Semuanya dalam Qudrat dan Iradat Allah. Allah yang mentadbir semuanya, termasuklah hal-hal yang berlaku di dalam badan kita. Jasad ini taat kepada arahan Tuhan yang menciptakannya. Yang selalu ingkar adalah ruh manusia. Sel-sel barah akan mengecil atau membesar mengikut apa yang Allah perintahkan kepadanya. Hanya dengan arahan Allah, tulang yang patah akan bercantum kembali seperti sediakala selepas dirapatkan dengan skru. Kita semua harus mengimani hakikat ini.

Adakalanya, lebih memburukkan keadaan lagi, terbit bibit-bibit perasaan kecewa dengan Tuhan. Naudzubillahi min dzalik!

“Kenapa aku?”

Ada yang merasa Allah tidak berlaku adil kepadanya. Sedangkan dia tidak merokok, dia menjaga makan dan senaman. Sesungguhnya syaitan telah berjaya menembusi benteng imannya. Merosakkan aqidahnya. Ruhnya turut jatuh sakit bersama-sama jasadnya, bahkan lebih tenat lagi. Iman melemah dan kian binasa. Ditambah lagi dengan kesediannya meringankan solat fardhu ketika itu, ada juga yang meninggalkan terus kerana sakit. Emosi dan iman kini hampir berada di garisan paling bawah, kerana tidak sedikit pun berusaha menyelami hikmah atas apa yang menimpa.

Bagaimana sebenarnya kita harus menghadapi bila sakit?

Astaghfirullah. Astaghfirullah. Astaghfirullah. Sebenarnya sakit itu hadiah dari Tuhan, yang mampu menjadi jambatan bagi kita untuk datang menghampiriNya. Rasulullah saw bersabda:

“Tidaklah seorang mukmin ditimpa sebuah kesedihan, nestapa, bencana, derita, penyakit, bahkan duri yang mengenainya, kecuali Allah, dengannya, akan mengampuni kesalahan-kesalahannya.”

Sakit itu buat penghapus dosa, buat mempermudah jalan kita ke syurga, buat meringankan beban kita di kehidupan sana. Jikalau Allah ingin menaikkan darjat hambaNya, yang tidak mampu dicapai oleh hamba itu dengan amalnya, maka Allah menghantarkan musibah dan derita, agar dengannya hamba itu dapat bersabar dan mencapai darjat iman yang lebih tinggi. Dia akan meraih pahala berdoa dan kebergantungan penuh kepada Allah, terutamanya ketika merasakan menemui jalan buntu dan tiada mana-mana manusia di dunia pun dapat membantunya.
“Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.” [Al-Baqarah: ayat 155]
Tentu saja sabar itu bermaksud redha dengan apa yang dikehendaki Allah ke atas dirinya. Semoga kita dapat mencontohi iman dan kesabaran Nabi Ayub Alaihissalam apabila kita sakit, kita demam atau kita kemalangan. Bersihkan hati, bertenanglah dan bersabarlah. Allah sedang memberi kita ‘kelapangan’ untuk bertaubat, berfikir tentangNya dan berzikir mengingatiNya. Moga dipertemukan denganNya di alam abadi.


Sumber : msmeire.wordpress.com

No comments:

Post a Comment