Wednesday 7 December 2011

✿ Rasulullah SAW sebagai Qudwah Hasanah

Rasulullah s.a.w. diutuskan bagi menyempurnakan AKHLAQ manusia. Iya, akhlaq. Bagaimana mahu menarik dan memegang hati mad'u selain mempunyai akhlaq yang baik? Hanya bergantung harap pada ilmu semata-mata tidak mampu untuk menarik hati mad'u apatah lagi memegang hati mereka. Tetapi dengan akhlaq yang baik, insya Allah mereka akan tertawan. Rasulullah s.a.w. sendiri menjadi qudwah hasanah. Bagaimana sikap Rasulullah s.a.w. dengan seorang lelaki tua Yahudi yang buta tinggal di pasar Madinah. Setiap hari Rasulullah s.a.w. akan pergi memberi lelaki tua yang buta itu makan roti dan akhirnya berlalu pergi sedangkan lelaki tua yang buta itulah antara yang paling kuat menentang Rasulullah s.a.w..

Setelah beberapa hari Rasulullah s.a.w. meninggalkan dunia yang fana' ini, lelaki tua Yahudi yang buta ini menggigil kelaparan lalu dicari-cari ke manakah perginya lelaki berhati mulia yang setiap hari menyuapkan roti ke dalam mulutnya akhirnya berlalu pergi tanpa sempat dia bertanya siapakah gerangan lelaki mulia itu. Tidak siapa menghiraukannya... Tiada lagi Muhammad s.a.w. untuk menyuapkan beliau roti.

Abu Bakar As-Siddiq bertemu dengan Ummul Mukminin, Aisyah r.a..

"Ya Aisyah, apakah masih ada sunnah Rasulullah s.a.w. yang belum aku amalkan?"

Aisyah merasa sangat terharu.. "Wahai ayah, engkau memang lelaki mulia. Sudah banyak sunnah Rasulullah yang engkau amalkan tetapi wahai ayah, masih ada satu lagi sunnah Rasulullah yang belum engkau laksanakan. Setiap pagi Rasulullah s.a.w. akan ke pasar Madinah untuk memberi makan kepada seorang lelaki tua yahudi yang buta. Dia menetap di pasar Madinah."

Maka Abu Bakar tidak lagi berfikir panjang lantas melaksanakan sunnah Rasulullah s.a.w. tersebut dengan penuh rasa cinta. [Subhanallah!] Setibanya di pasar Madinah, Abu Bakar melihat kepada lelaki tua buta yang sudah menggigil kelaparan. Lelaki tua buta itu tahu yang menyuapkan beliau bukan lelaki berhati mulia seperti hari-hari kelmarin, tampak benar perbezaannya. Lelaki berhati mulia itu menyuapkan roti dengan penuh rasa kasih dan sayang. Lalu ditanyakan kepada Khalifah tersebut. "Wahai anakku, siapakah kamu? Kamu bukan lelaki berhati mulia yang selalu memberikan aku makan." Sambil makan sisa roti, lelaki tua itu menasihatkan lelaki dihadapannya. "Wahai anakku, jangan engkau ikuti Muhammad! Muhammad itu pendusta! Muhammad itu ahli sihir! Jangan engkau hampiri Muhammad, Muhammad itu sesat!"

Bergenang air mata lelaki, sahabat yang sentiasa membenarkan kata-kata Habiballah. Abu Bakar As-Siddiq.

Itulah indahnya akhlaq Rasulullah s.a.w., biarpun ditentang baginda tetap juga melayan lelaki tua itu dengan penuh rasa kasih dan sayang, tanpa secebis perasaan dendam baginda menyuapkan roti kepada lelaki tersebut.

Khalifah Islam pertama terus bertanyakan kepada lelaki tua buta Yahudi itu... "Wahai ayah, tahukah kamu siapa lelaki berhati mulia yang selalu datang ke mari menyuapkan kamu?"

...Tidak. Beliau selalu memberi aku makan dan kemudian berlalu tanpa sempat aku bertanyakan kepadanya."

Abu Bakar menyambung bicara di hujung sebak yang ditahan-tahan. "Wahai ayah, tahukah kamu lelaki yang selalu datang ke sini menyuapkan ayah makan adalah Muhammad!"

Apa. Muhammad?! Ya Allah, aku telah membuat kejahatan kepada orang yang terlalu baik kepadaku. Beritahu kepadaku, bagaimana untukku memohon maaf kepadanya."

Sebak Khalifah mendengar permintaan lelaki tua itu... "Muhammad... Muhammad... Dia tiada..."

"Dimana boleh aku cari Muhammad supaya aku boleh memohon maaf kepadanya?" Lelaki tua itu masih mencari cara untuk bertemu dengan kekasih hati belahan jiwa para sahabat.

"Tidak wahai ayah, Muhammad telah tiada. Muhammad sudah meninggal dunia." Bergetar suara Khalifah melantunkan ayat-ayat yang menghiris kalbu. Entah perasaan apa yang membuak hingga tersedu sedan lelaki tua itu mendengarnya.

"Bagaimana aku boleh bersama dengannya lagi?"

Abu Bakar masih menahan getar, nadanya masih mendatar. "Berimanlah kepada Rasulullah. Ucapkanlah 'Lailahaillallah, Muhammadur Rasulullah!' Engkau akan bersamanya di syurga kelak."

Lantas, si lelaki tua buta Yahudi itupun mengucapkan kalimah syahadah. Lalu menjadi muslim...

Itulah indahnya qudwah yang ditonjolkan Rasulullah s.a.w.. Berdakwah dengan akhlaq. Mentarbiyyah dengan sentuhan kasih sayang, sukarnya mendidik diri yang penuh selut dosa dengan sunnah baginda. Ya Allah, kurniakan kepadaku kekuatan dan kesabaran. Berikanlah keteguhan hati untuk mengamalkan sunnah Rasul, selimutkanlah kami dengan keyakinan. kulil haq walau ka na murran. Ameen...

No comments:

Post a Comment