Wednesday 7 December 2011

✿ Pelihara dari api neraka

“Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada neraka.” (al-Tahrim : ayat 6)
Setiap individu diberi tanggungjawab untuk memelihara dirinya dan ahli keluarga daripada api neraka. Sebagai seorang Muslim, aktiviti harian kita hendaklah berteraskan akidah yang benar dan syariat yang sahih menurut acuan Islam.

Perhatikan tahap keislaman diri dan ahli keluarga. Jadikan matlamat hidup kita sebagai Muslim yang berilmu, beriman dan beramal soleh. Ibu bapa perlu mendidik anak-anak supaya menaruh minat terhadap Islam, berusaha mendalami ilmu-ilmunya, rajin mengerjakan amal soleh dan menjauhi perkara mungkar.

Antara didikan yang wajib diterapkan ialah anak-anak dididik mendirikan solat seawall usia tujuh tahun, gemar belajar ilmu fardhu ain dan ilmu fardhu kifayah, mengamalkan akhlak sebagaimana akhlak Rasulullah SAW, mengaji al-quran, gemar membantu sesama manusia, menghindari permusuhan dan sebagainya.

Menghantar anak ke sekolah ialah satu usaha mendidik. Semasa di sekolah, anak-anak diajar pelbagai cabang ilmu, berdisplin dan hidup bermasyarakat. Aktiviti berfaedah seperti ini dapat menghindarkan ahli keluarga terpesong daripada ajaran Islam. Menerusi aktiviti pendidikan juga kita dapat memelihara diri dan keluarga daripada seksaan api neraka.

Selain itu, setiap ahli masyarakat turut bertanggungjawab menjadi contoh kepada yang lain. Ibu bapa menjadi teladan kepada anak-anak, abang dan kakak menjadi pendorong adik-adik dan guru menjadi idola murid-murid. Mereka adalah golongan yang paling hamper dengan ahli masyarakat.

Kita semua merupakan cermin kepada orang lain. Berakhlak mulia dapat mempengaruhi individu yang ada di sekeliling kita kerana tabiat manusia adalah gemar kepada kebaikan.

No comments:

Post a Comment