Thursday 1 December 2011

✿ MENANGANI KERUNTUHAN AKHLAK

Manusia yang baik adalah individu yang berakhlak, bermoral serta beradab mulia. Imam Al-Ghazali mentakrifkan akhlak sebagai suatu sifat yang tertanam dan sebati dalam jiwa seseorang yang melahirkan tingkah laku dengan mudah secara spontan, yakni tanpa berhajat kepada pemikiran. Jika yang lahir itu tingkah laku yang baik dan terpuji menurut akal itulah akhlak yang mulia. Banyak ayat Al-Quran yang menitikberatkan persoalan pembinaan akhlak.
Firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 21 bermaksud;
"Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu menjadi teladan yang baik untuk kamu dan untuk orang yang berharap menemui Allah dan hari kemudian, serta ia banyak mengingati Allah"
Sejak kebelakangan ini kita dapati setiap hari akhbar dan media elektronik melaporkan kejadian-kejadian yang menunjukkan gejala-gejala keruntuhan akhlak masyarakat kita. Gejala tidak sihat ini berlaku dari yang sekecilnya tidak menghormati golongan yang lebih tua hinggalah kepada pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, bersekedudukan, pengguguran dan yang paling dahsyat sekarang ini adalah gejala pembuangan bayi. Bayi ditemui di pelbagai tempat semak hinggalah ke tandas awam. Yang amat menyedihkan lagi kes-kes ini kebanyakannya melibatkan saudara se-Islam kita.

Anak yang dikatakan sebagai cahayamata bagi sesebuah keluarga, tetapi bagi sesetengah insan yang hilang sifat kemanusiaan menganggapkan anugerah tuhan ini sudah tiada signifikannya lagi. Gejala ini memperlihatkan kepada kita betapa anugerah Tuhan ini tidak lagi dihargai malah dianggap sebagai beban yang amat berat untuk digalas.

Melihat kepada paparan berita yang diperolehi setiap hari, menggambarkan masalah pembuangan bayi ini semakin berleluasa sekarang. Ini membuatkan kita menjadi gerun tentang betapa seriusnya masalah keruntuhan akhlak ini. Kita harus ingat bahawa kes yang kita ketahui itu adalah sebahagian kecil sahaja daripada kejadian yang sebenar, kerana memang sifat kejadian yang sebegini hanya sebahagian kecil sahaja yang dilaporkan atau dikesan. Jika telahan ini benar seharusnya ia lebih merisaukan kita dan kesedaran harus timbul dalam diri kita bahawa sesuatu harus dilakukan segera untuk menghentikannya.

Agama mengajar kita tentang pencipta dan hubungan kita denganNya, tentang kejadian dan hubungan kita dengan alam dan mahluk Allah yang lain, tentang tanggung jawab, tentang tugas, tentang dosa pahala, tentang syurga neraka dan sebagainya. Selain itu ia juga mengajar kita tentang nilai hidup yang mulia, tentang apakah yang harus dilakukan demi untuk mencapai kejayaan di dunia dan akhirat. Oleh itu sebagai satu langkah pencegahan individu mesti disiapkan dengan pegangan hidup yang benar ini. Jika iman dan amal ini telah tertanam dalam diri sudah pasti segala cabaran yang datang dapat diatasi. Untuk itu proses penanaman iman haruslah dimulakan sejak individu itu kecil lagi agar apabila ianya meningkat dewasa ia dapat bertindak dengan wajar berdasarkan kepada pegangan hidup sebenar yang diwarisinya.

Islam meletakkan peranan yang besar kepada ibu bapa dalam mendidik anak-anak dengan pendidikan yang baik dan bertanggung jawab melahirkan generasi baru yang berdisiplin dan berguna kepada penghidupan dunia dan akhirat. Dalam AL-Quran kita dapat melihat Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan juga ahli keluarga kamu daripada api neraka."

Ini menunjukkan bahawa ketua keluarga bertanggung jawab dalam melahirkan ahli-ahli keluarga yang baik, yang terpelihara daripada tindakan Allah nanti. Kesilapan ketua keluarga akan menjadi contoh kepada anak-anak sehingga mereka akan mengikut tauladannya melakukan kesalahan.

Oleh itu tanggung jawab ibu bapa adalah amat besar dan besar sekali. Ini perlu disedari dan diinsafi kerana dalam masyarakat kita terdapat sedikit kepincangan dan kelemahan dari segi pendidikan di rumah, kerana ibu bapa lebih suka menyerahkan soal pendidikan dan tanggung jawab ini kepada sekolah tanpa mengambil tahu dan bertanggung jawab tentang pendidikan di rumah.

Kita sering berbicara tentang kewajipan anak-anak kepada ibu bapa, tetapi sebaliknya kita juga sebagai ibu bapa seharusnya bertanya diri sendiri apakah peranan kita dalam mendidik anak-anak supaya menjadi orang-orang yang taat kepada kita dan seterusnya taat kepada Allah s.w.t. dan menjadi anggota masyarakat yang berguna. Apakah tanggungjawab dan tugas kita sebagai ibu bapa telah kita tunaikan sebaik-baiknya?

Jadi kita berdoa agar dapat terus mempertahankan kekuatan kekeluargaan supaya dapat mendidik dan menghasilkan generasi akan datang yang tahu bersyukur kepada Allah SWT.

No comments:

Post a Comment