Wednesday 23 November 2011

✿ Usrah 17/6/2011 [Jumaat]

Waktu : Selepas solat Isya
Lokasi : Sekitar Sepanggar
Tajuk : KEPENTINGAN ILMU

______________________________ KEPENTINGAN ILMU ____________________________
=============================
MUKADDIMAH
=============================



"Barangsiapa melalui suatu jalan utk mencari ilmu (agama), Allah akan memudahkan baginya jalan menuju Syurga."[BUKHARI]
Ilmu itu cahaya. Tanpa ilmu, kita akan terus hidup sesat dan penuh kejahilan. Islam menyeru umatnya agar terus mencari ilmu tanpa mengira masa, kerana ilmu itu penyuluh kehidupan. Bak kata pujangga :

“Jika engkau memiliki harta, engkau perlu menjaga harta itu
Jika engkau memiliki ilmu, maka ilmu itu akan menjaga engkau.”

dan

"A good leader is a good reader."

Ilmu adalah penjaga manusia dalam menongkah hidup yang penuh ujian ini. Ilmu juga menjadi benteng manusia dalam menongkah badai ujian yang semakin menggila di akhir zaman ini.

Menjelang akhir zaman, muncul golongan yang sesat malahan menyesatkan yang lain. Maka, ilmu akan menjadi benteng diri agar tidak tertipu dengan golongan sebegini, juga agar tidak menyesatkan yang lain.

Ilmu itu juga adalah amanah dari Tuhan. Justeru itu, tidak hairanlah agama Islam amat memandang tinggi mereka yang berilmu. 
“Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada NIAT, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.” [Hadis]
Selain menuntut ilmu, kita juga perlu menekankan niat mencari ilmu. Tanpa niat yang betul, kelak ilmu hanya akan menjadi bahan fitnah buat diri dan orang lain.

Ilmu yang bermanfaat itu adalah ilmu yang bermanfaat buat diri dan orang lain. Ilmu yang bermanfaat itu juga mampu menjana amal yang lebih sempurna. Ilmu yang bermanfaat itu juga bisa membantu mengubah diri. Ilmu yang bermanfaat itu juga adalah yang sentiasa mendekatkan diri kepada Allah.

Islam memberi amaran kepada mereka yang berilmu, agar tidak lari dari matlamat sebenar. Orang berilmu mampu berada di tahap paling tinggi, juga mampu berada di tahap paling rendah, malahan lebih rendah daripada tahap orang tidak berilmu.

Awasilah diri dengan permainan syaitan yang licik memperdaya anak Adam. Berapa ramai orang berilmu di akhir zaman kini hanya sekadar menjadi patung boneka dan bahan mainan musuh-musuh Islam. Namun, segelintir dari mereka masih dipelihara Allah, tetap istiqamah dan berjuang menegakkan agama Allah walaupun mereka hanyalah golongan minoriti.

Mudah-mudahan Allah sentiasa pelihara diri kita semua agar terus istiqamah di jalan yang benar, bukan jalan yang sesat.

Amin...

=============================
SYUKUR 
=============================
lslam itu bahawa engkau naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad itu utusan Allah, (dan bahawa) engkau mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan, menunaikan haji ke BaitulLah (Mekah) sekiranya engkau berkuasa mengerjakannya.
...................
(lman itu ialah) bahawa engkau percaya kepada Allah, para MalaikatNya, kitab-kitabNya, para RasulNya, hari Qiamat dan bahawa engkau percaya kepada Qadar baik dan buruk. [Hadis]

[1] Kita patut bersyukur kerana keluar dari perut mak, terus dapat status free – Islam. Cuba bayangkan, bagaimana jika kita lahir ke dunia ni, belum dapat status Islam, dan hingga mati tak sempat mengucap kalimah syahadah?

[2] Seorang yang lahir sebagai bukan Islam, bersusah-payah mengkaji agama Islam hanya untuk peroleh hidayah. Kajian yang memakan bertahun lamanya, kemudian barulah hatinya terdetik untuk mengucap 2 kalimah syahadah itu.

[3] Namun, ada manusia, yang dapat status Islam dengan percuma, tidak perlukan kajian, tanpa memakan apa-apa bayaran pun, telah sia-siakan peluang Islam dan iman yang Allah beri semasa hidup, malahan menjadi penentang kepada agama Islam itu sendiri

****
‎"Sabar menghadapi musibah adalah sebesar-besar erti sabar di mana sabar itu sendiri memerlukan kesabaran pula. Adapun bala dan musibah, ia menunjukkan adanya perhatian dan kasih sayang Allah. Oleh itu, syukurilah ia kerana syukur yang sedemikian setinggi-tinggi erti syukur.”

[1] Hidup ini ujian. Manusia memang layak untuk diuji, kerana ganjaran Syurga bukanlah semurah ke panggung wayang atau ke pusat karaoke

[2] Bersyukurlah kerana masih ramai manusia lebih malang dari kita di luar sana

[3] Sekurang-kurangnya, kita masih mampu bercakap, melihat, mendengar etc

[4] Jauh di sana, ada saudara kita yang hari-hari tak cukup makan, hari-hari berebut air yang terhad

[5] Dan lagi hebat ujian, ada yang hari-hari hanya mendengar letupan bom dan di ancam maut setiap masa

“Agama itu adalah nasihat.” [Hadis]
[6] Bersyukurlah kerana diuji, tanda diri masih dipantau Ilahi

[7] Namun, berdukalah andai sepi dari ujian, mungkin sudah jauh dari Tuhan

=============================
UBAH
=============================
“Medan bercakap tidak sama dengan medan berkhayal,
Medan beramal tidak sama dengan medan bercakap,
Medan berjihad tidak sama dengan medan beramal,
Medan berjihad sebenar tidak sama dengan medan berjihad yang silap.”
[Asy-Syahid Imam Hassan al-Banna]


Merujuk kepada Stephen Covey [7 Habits of Highly Effective People], perwatakan ke-2 iaitu “Begin with the end in mind”, menjelaskan bahawa : Medan khayalan penting dalam mengubah sesuatu. Namun, khayalan ini bukanlah khayalan yang hanya berbentuk ‘angan-angan mat Jenin’ semata-mata, namun perlunya bertindak selaras dengan khayalan yang ada. Tegasnya lagi, khayalan ini juga bukanlah hanya mengikut pandangan sendiri, namun perlu juga memerhatikan kemampuan diri dan keadaan semasa. Bak kata pepatah, “Masakan mahu dapat buah tembikai, jika kita memanjat pokok durian?”

[1] Perubahan itu penting buat semua manusia

[2] Tingkatkan amal dan jihad dalam diri agar perubahan itu dapat direalisasikan bersama. Dunia sekarang tidak cukup hanya terkurung dalam medan teori, sebaliknya perlu sama-sama berganding bahu beramal dan berjihad mengikut batas kemampuan masing-masing

[3] Mengubah manusia tidak mudah seperti mengubah robot, yang hanya memerlukan butang on-off atau sambungan wayar. Mengubah manusia adalah satu proses yang panjang. 

[4] Jadikan bulan Rejab yang hadir kali ini, sebagai medan melatih diri dengan berpuasa sunat di bulan Rejab, juga sebagai persediaan menghadapi Ramadhan tak lama lagi 

[5] Paksakan diri agar melakukan kerja yang kurang disukai. Tapi tak bermaksud menyusahkan diri seperti Pak Pandir, tetapi menyediakan diri agar tidak terperangkap di dalam zon selesa - yang kelak akan memusnahkan diri kita

[6] Ujian kesenangan itu lebih bahaya dari ujian kesusahan

****
“Dakwah itu luas. Cuci tandas, hormati orang, belajar, membuang kayu di tepi jalan, berlisan baik, menulis yang baik itu juga adalah dakwah. Pahala itu adalah dakwah.” [Anonymous]
[1] Dakwah bukan sekadar bicara agama, dakwah juga bukan hanya menyentuh ilmu fiqh, dakwah bukan sekadar menghadiri kuliah ilmu, namun dakwah itu adalah hidup kita

[2] Setiap kebaikan adalah dakwah. Selagi ianya ada pahala

[3] Kita mahukan perubahan yang kekal. Kita tidak mahukan perubahan seperti pisang goreng - hari ini kita insaf, hari esok kita berasap

Jika kita berubah hanya kerana terpaksa dek tekanan dan desakan sekeliling, biasanya tidak akan tahan lama

Tetapi, jika kita paksakan diri untuk berubah, insyaallah itu akan menjadi benteng diri kita hingga akhir hayat

****

“Manusia sanggup hidup susah hanya kerana tidak mahu berubah.”

Saya tertarik dengan cerita dari seorang tokoh motivasi dahulu. Dia bertanya, “Lojikkah seorang manusia itu mati lemas di lopak air yang hanya tingginya 1 sentimeter?”

Ramai orang menjawab tidak.

Namun, itu tidak mustahil berlaku, sekiranya seseorang itu teramat malas untuk berubah hingga membiarkan dirinya lemas dalam air yang teramat cetek.

Moral : Jangan jadi manusia yang susah, hanya kerana taknak berubah. Malahan, susahnya itu turut menyusahkan orang lain

=============================
PENUTUP
=============================

“Perubahan itu bukan pilihan, tetapi satu kemestian.”

[1] Keluarlah dari medan bercakap dan medan berkhayal

[2] Keluarlah dari kepompong sendiri, terjun ke dalam masyarakat yang masih memerlukan

[3] Usahakan diri untuk sentiasa bekerja keras untuk agama Islam

[4] Jadilah aktivis Islam yang terurus, bukanlah ekstremis Islam yang hancus !

[5] Tuntutlah ilmu, usaha amalkan, dan sama-sama sebarkan, demi kebangkitan umat Islam !

BANGKIT ANAK SABAH !
"Barangsiapa yang dikehendaki oleh Allah kebaikan padanya, maka Allah menjadikannya seorang yang memahami ilmu agama." (Hadis)

Wassalam 

Sumber tambahan : 
1] http://www.eperjuangan.com/2010/04/jangan-teruja-dengan-ramainya-pengikut.html
2] https://www.stephencovey.com/7habits/7habits.php
3] http://www.facebook.com/note.php?note_id=170089809685359

No comments:

Post a Comment