Wednesday 23 November 2011

✿ Bukan Saya Tetapi Allah

Dari jauh, komuter biru kuning yang tertera destinasi 'Batu Caves' bergerak perlahan melewati stesen Shah Alam. Siren berbunyi, pintu pinkdibuka, dan saya melangkah masuk. Mata melilau mencari kerusi kosong.

Alhamdulillah. Kelihatan di hujung masih berbaki satu yang kosong. Berdekatan seorang kakak Indonesia dan anak kecilnya. Keadaan tenang, namun ada satu suara yang mampu mengganggu ketenteraman telinga.

uwaaaaaaaaa.... uwaaaaaaaaa.. uwaaaaaaaaaaaa.

Anak kecil berdekatan saya itu menangis, minta dilepaskan, ingin dilepas bebas.

Sangkaan saya, 'budak baru dapat kaki, biasalah.'

Anak itu mula berjalan dan semua mata pastinya tidak lepas memandang anak kecil dalam lingkungan setahun itu. Dia kelihatan gembira berjalan-jalan di atas train yang bergerak, walaupun riak cemas jelas terpancar di raut wajah ibunya.

Anaknya melangkah semakin jauh dan si ibu pantas bangun dan mendapatnya kembali. Namun belum pantas ibunya ke tempat duduk asal, anak itu kembali menangis, malahan lebih kuat lagi.

uwaaaaaa....uwaaaaaaa...

Kali ini lebih kepada meraung. Jelas terpancar ketidak senangan penumpang lain. Ada yang muka berkerut, ada yang buat tidak kisah,tetapi yang paling ketara, amoi berbangsa Cina sempat mengeluh sebelum keluar di stesennya.

"ayyyyaaaaaaaa........."

Jelas mahukan semua penumpang tahu ketidak selesaannya dengan tangisan adik kecil yang tidak berhenti.

Saya ketika itu hanya mampu memandang. Bukan salah amoy itu dan bukan juga salah anak kecil itu. Simpati dengan ibunya. Pelbagai andaian timbul.

Lapar mungkin atau pampers basah?

Atau keadaan train yang tidak berhawa dingin merimaskan dia?

Tetapi saya hanya berfikir sendiri, di dalam hati. Takut untuk bersuara. Siapalah saya, remaja yang masih belum berpengalaman dalam urusan rumah tangga.

Stesen demi stesen, tangisan anak kecil seakan tidak ada tanda untuk berhenti.

Ibunya semakin resah, sekejap bangun, sekejap duduk, sekejap dibaringkan anak itu, sekejap diusapnya dan sekejap dipeluknya. Tetapi usahanya seakan menemui titik buntu.

Penumpang lain juga turut simpati, ada yang meng'offer'kan diri untuk memujuk, menolong untuk mengendong, mengumpan baby dengan anak kunci, penyepit rambut dan botol air, namun semua itu ditolak mentah-mentah.

Ada yang mengeluarkan fail untuk mengipas, menyejukkan anak kecil dan juga ibunya. Ada yang mencadangkan untuk diberikan botol susu, dan anak itu pantas diberikan botol susu berisi air mineral.

'Ooohhhh. Dahaga rupanya.'

Semua orang menarik nafas lega. Anak kecil itu terus sahaja diam. Meminum dengan rakusnya. Disangkanya panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari.

uwaaaaaa... uwaaaaaa...uwaaaaa....

Sebaik habis air mineral, baby itu kembali aktif menangis. Malah lebih kuat lagi. Saya rasakan budak kecil itu 'all out' melepaskan suaranya, kasihan lagi.

Naluri saya terdetik. Saya mula tidak senang duduk. Saya kasihan melihat ibunya. Saya kasihan dengan anak kecil itu. Dalam kepala saya ada satu cara, hanya ini.

Bismillahirrahmanirrahim.

Saya memberanikan diri mensuakan tangan ke atas kepala anak itu, mengusap perlahan.

"Laila..haillallah... Laila...haa..illallah.....Laila..haillallah..."

Sebaik saja saya mengalunkan zikir, anak kecil itu terus, automatik diam!

Apa maksudnya?

'Tidak ada Tuhan melainkan Allah.'

Anak itu diam, langsung tidak merengek satu apa pun. Dalam erti kata lain, anak itu membenarkan. Tunduk dan patuh.

'Lailahaillallah.'

Jelas Allah S.W.T mahu membuktikan sesuatu, kita semua ini datangnya dari Allah S.W.T. Allah S.W.T itu Tuhan kita. Rabb kita. Islam ini agama yang benar!

Subhanallah! Hebatnya Allah S.W.T.

Berbalik kepada cerita. Ada getaran pada setiap bait zikir saya. Jujur, saya terketar. Saya dapat rasakan, mata-mata penumpang di koc berwarna merah jambu semuanya tertumpu pada saya.

Pastinya ada yang bercakap tentang saya kerana dalam train itu, bukan hanya muslim, malahan kakak yang menolong untuk mengipas anak kecil itu adalah dari bangsa India.

Namun saya tidak peduli lagi. Mudah-mudahan ada hati-hati yang tersentuh.

Insya-Allah.

Anak kecil itu memandang saya. Lama. Saya masih tidak berhenti berzikir. Setelah anak itu menunjukkan respon positif, saya kembali ke tempat asal.

Jam ditoleh menunjukkan 7.00 petang. Waktu waktu senja seperti ini, banyak syaitan yang berkeliaran, bertempiaran. Mungkin ini salah satu sebabnya anak itu tidak henti-henti menangis. Ubatnya, hanya satu. Kembali kepada Allah S.W.T.

Beberapa minit kemudian, (stesen berikutnya..KL Sentral..KL Sentral).

Kedengaran suara pengumuman yang direkod. Ibu anak kecil itu mula mengemas-ngemas, bersiap untuk bangun.

Sempat ibunya bertanya saya, ramah.

"Adik turun kat sini juga?"

"Belum kak."

"Terima kasih ya dik."

Kakak itu beredar bersama anaknya. Ketika train mula bergerak, dalam kegelapan malam, saya tahu, ada air jernih panas mula mengalir di pipi. Ibrahnya saya menaiki train hari itu!

Allahurobbi....

'Hanya dengan mengingati Allah, jiwa akan kembali tenang.' (Ar-Rad:28)

nota: 'akak, bukan saya yang mendiamkan anak akak, tetapi Allah S.W.T. saya hanya wakil Allah S.W.T sahaja.'

Ibrah=Pengajaran/Iktibar

No comments:

Post a Comment