Thursday 16 February 2012

✿ Punca keresahan dan kegelisahan

Mengapakah hati yang diciptakan Allah SWT itu resah dan gelisah? Ya, kenapa?

Kerana hati itu terpisah jauh dengan penciptaNya.

Hati adalah tempat terkandungnya fitrah asal manusia. Sejahat mana pun manusia, apabila mereka melakukan kejahatan mereka, tidak dapat tidak mereka akan dapat mendengar ‘suara hati’ mereka membantah perbuatan mereka. Ya, ini adalah realiti. Tinggal, mereka tetap terus melakukan kejahatan kerana mereka tidak menyahut seruan hati mereka itu.

Fitrah hati adalah taat dan tunduk kepada Allah SWT.

“Bukankah Aku ini Rabb kamu? Mereka menjawab: Iya, kami menjadi saksi.” Surah Al-A’raf ayat 172.

Itulah dia perbualan Allah dengan roh-roh sebelum roh-roh dimasukkan ke dalam tubuh kita.

Fitrah kita adalah rapat denganNya. Menjauhi Allah, adalah punca keresahan dan kegelisahan kita. Apakah perkara-perkara yang menjauhkan kita daripada Allah SWT?

Hendak menyenaraikannya pasti panjang. Maka cukup saya konklusikan semua jawapan dengan satu kalimah.

Dosa.

“Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Rabb kalian dalam keadaan berpuas hati lagi diredhai.” Surah Al-Fajr ayat 27-28.

Kenapa Allah menyeru jiwa-jiwa yang tenang? Kerana jiwa-jiwa yang tenang sahaja yang mampu kembali kepada Allah dalam keadaan diredhai. Jiwa-jiwa yang tenang sahaja mampu mengharungi segala ujian dan cabaran di atas dunia ini.

Maka apakah kita tunggu lagi? Motivasi meneruskan kehidupan ini dalam keadaan terbaik dan tertinggi, adalah dengan mendapatkan ketenangan hati. Ayuh!

“Ketahuilah dengan mengingati Allah itu, hati-hati akan menjadi tenang.” Surah Ar-Ra’d ayat 28.

Bersihkan diri, rapati Ilahi, dapatkan ketenangan sejati.

No comments:

Post a Comment